Damanhur: Memoir Waktu Belajar Yang Dirindui# 🇪🇬 Catatan Perjalanan Mesir 2019, Episod 6

25 November 2019

Antara tempat belajar pelajar-pelajar Malaysia suatu ketika dahulu

Kali ini saya merancang untuk ke Damanhur dan Iskandariah atau lebih dikenali dengan Alex. 2 tempat yang wajib saya kunjungi kalau datang ke Mesir. Damanhur merupakan nama bagi ibu negeri Bukhaira. Negeri ini mempunyai sejarah tersendiri dan salah satu tempat yang pernah disinggah Ibn Batuta. Boleh baca sejarahnya di sini:

https://en.m.wikipedia.org/wiki/Damanhur

Damanhur merupakan tempat saya menuntut ilmu selama 4 tahun. Saya datang semula selepas 12 tahun menamatkan pengajian secara rasmi. Kali terakhir saya datang ke sini ialah pada tahun 2012 ketika itu menaiki kereta sewa bersama Bob, Zuzu dan Rizz. Pada waktu itu saya tumpang bermalam selama dua malam di rumah arwah Ustaz Rizal syaah (apartment) yang terletak di atas syaah saya dahulu. Kebetulan ada lagi pelajar yang saya kenal tinggal di situ. Pada waktu itu juga saya pulang ke Kaherah menaiki tramco berseorangan. Ingin mengimbas kenangan lama, katanya. Damanhur bumi yang menyimpan banyak kenangan dan memori saya menuntut ilmu selain di Kaherah. Semasa di tahun 3, setiap cuti semester saya lebih kerap berada di Kaherah kerana mengikuti kelas kursus Bahasa Arab di Markaz Nil.

Semasa saya menziarahi Damanhur pada tahun 2012

Menaiki Van di Abud

Kali ini saya rancang menaiki pengakutan awam seperti semasa bergelar pelajar dahulu. Dan kali ini saya ditemani Ghazali dan Khairul Firdaus yang juga merupakan sahabat lama yang sedang menuntut pengajian Master di American Open University. Kami bertolak ke Abud menaiki Uber. Sekiranya mahu menaiki van di Hayyyu Sabik, kita akan mendengar laungan ” Abud!, Abud!,Abud!”. Suatu ketika dahulu, Abud merupakan stesen pengakutan awam yang tidak asing lagi bagi pelajar-pelajar Malaysia. Di sinilah tempat berhimpunnya pengakutan awam seperti tramco, van yang membawa kita ke furuk atau muhafazah (negeri-negeri) lain di Mesir seperti Damanhur, Tanta, Mansurah, Zakzik dan sebagainya.

Beginilah keadaan Abud hehe

Kali ini saya menaiki van untuk ke Damanhur memandangkan saya tidak menemui tramco seperti tahun 2012. Mungkin perkhidmatan tramco sudah tidak ada lagi. Van bergerak menuju ke destinasi selepas semua tempat duduk dipenuhi. Inilah peraturan menaiki kenderaan awam selain bas bagi perjalanan jauh di Mesir.

Menunggu van penuh

Damanhur Yang Dirindui

Perjalanan ke Damanhur memakan masa lebih kurang 3 jam setengah. Sepanjang perjalanan, permandangan hijau di kiri dan kanan kerana melalui kampung-kampung yang terletak di tepi highway tersebut. Ladang kapas, gandum, padi dan sayur-sayuran boleh dilihat di sepanjang perjalanan. Satu perasaan lama yang kembali menyegar di jiwa. Saya tiba di Mujammak atau stesen bagi pengakutan awam di Damanhur kira-kira jam 2 petang. Ia terletak di kawasan Toba. Semasa saya belajar dulu, stesen ini masih belum wujud. Semua berkumpul bersesak-sesak di stesen kecil di sebelah Kubri ‘Alwi. Sekarang keadaan sudah berubah. Banyak yang sudah berubah di Damanhur. Di sini juga sudah ada hotel bernama “Funduk Taisir” di kawasan Toba juga. Satu-satunya hotel yang boleh ditemui di Booking.com. Setibanya di stesen pengakutan tadi, kami terus menahan teksi untuk ke Hotel Taisir.

Satu-satunya hotel di Damanhur

Hotel ini merupakan syaah Arab yang dijadikan hotel. Harganya lebih kurang RM 100 untuk satu malam bagi bilik berdua. Memandangkan bilik bertiga dikahabarkan penuh, saya perlu menempah dua bilik berdua. Ikutkan saja kata Arab ni, malas nak bising. Padahal saya sudah tempah di booking.com. Selepas itu saya terus mengambil teksi menuju ke Jami’ah Syariah wa Qanun Damanhur atau Universiti Al-Azhar Kuliah Syariah dan Undang-undang Cawangan Damanhur untuk ziarah dan mengambil gambar. Saya tidak dibenarkan masuk ke dalam universiti. Semasa mengambil gambar di luar pagar, polis yang menjaga pondok kawalan menegur saya. Saya menjawab yang saya merupakan bekas pelajar Malaysia yang menuntut di sini, barulah dia beredar.

Kulliyah Syariah Wa Qanun, tempat saya menuntut ilmu dahulu

Tiada lagi Pelajar Malizi

Beberapa tahun selepas saya pulang ke Malaysia pada tahun 2007, Kedutaan Malaysia (Safarah Malizia) telah menetapkan peraturan baru. Tiada lagi pelajar-pelajar pengajian Islam dihantar ke furuk lagi termasuklah Damanhur. Selepas itu yang tinggal hanyalah pelajar-pelajar lama yang masih meneruskan pengajian. Tiada lagi pelajar-pelajar baru dihantar ke Damanhur. Oleh kerana itu, tiada lagi pelajar Malaysia yang berada di sini. Masyarakat di sini juga memandang kami dengan pandangan aneh bila berjalan.

Kenangan semasa menuntut ilmu. Bazar yang diadakan setiap tahun. Saya juga pernah membuka gerai menjual Nasi Minyak Daging, Nasi Ikan Keli Pak Pid dan Puding Koktail.
Bersama sahabat serumah meraikan Arwah Ustaz Rizal yang berjaya menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar Cawangan Desuq
Kenangan belajar yang dirindui

Jalan-jalan Bandar di Waktu Malam

Malam itu kami berjalan kaki bersiar-siar di kawasan bandar. Sebenarnya bandar Damanhur tidaklah seluas mana. Masih boleh berjalan kaki di beberapa tempat. Semasa belajar dahulu, saya lebih suka berjalan kaki berbanding menaiki teksi, melainkan kawasan yang dituju itu jauh. Sebab itu dulu badan kurus, hehee. Dari kawasan hotel kami menuju ke Kubri Alwi. Dalam perjalanan, kami sempat singgah di kedai Halawiyat (manisan). Damanhur memang terkenal dengan kedai manisan yang sedap. Daripada kek sampailah manisan tradisional semuanya saya suka. Harga pun murah.

Semuanya sedap belaka!

Selepas membungkus beberapa kek dan basbusa, kami singgah makan malam di satu restoran wajib saya kunjungi apabila sampai di Damanhur iaitu al-Qasr (Istana). Restoran ini tidak berubah sejak berbelas tahun dahulu. Semasa saya belajar, sekiranya ada wang lebih, saya akan ke sini untuk take away Nasi Daging .Memang sedap. Setiap kali saya datang ke Damanhur saya akan makan Nasi Daging di sini. Nasi Daging yang dimasak di dalam bekas tembikar tanah liat memang memberikan kelainan pada rasa. Inilah keistimewaan Damanhur.

Wajib singgah di sini
Nasi Daging dalam tembikar di sini tiada tandingannya
Wajah selepas kekenyangan

Selepas makan malam, kami terus bergerak ke Kubri Alwi mengikut jalan belakang yang lebih singkat. Selepas itu, kami melalui jalan lain untuk pulang ke hotel. Kami sempat singgah di kedai pakaian yang terletak di seberang jalan bertentangan MCD dan Khairul Firdaus membeli baju panas di situ. Selepas itu kami pulang semula ke hotel.

Semasa saya belajar belum ada lagi Mcd dan KFC

Menziarahi Syaah lama

Jam 8 pagi saya dan Ghazali keluar dari hotel. Plan saya ialah jalan-jalan di kawasan syaah yang pernah sy tinggal dahulu sebelum check out hotel pada jam 12 tengahari. Sepanjang 4 tahun belajar sy telah berpindah sebanyak 4 kali.Hehee. Tahun pertama dan kedua di Syarik Makrizi di kawasan Kubri Alwi seterusnya tahun ketiga dan keempat di Kubri Fillagah yang terletak berhampiran sungai . Sebelum itu saya mengajak Ghazali rutun di kawasan hotel kerana di kawasan itu terdapat pasar pagi yang terkenal di Toba. Kira macam pasar tani di Malaysia.

Pasar Toba, pasar yang selalu saya kunjungi semasa belajar kerana makanan laut di sini lebih banyak
Jamik Toba atau Masjid Toba, terkenal di Damanhur

Selepas itu kami bergerak menaiki teksi ke Kubri Fillagah.

Warna teksi di Mesir adalah berbeza mengikut negeri

Saya pernah tinggal di dua syaah di Kubri Fillagah. Pertama ketika tahun 3 saya menumpang barang-barang di syaah pelajar-pelajar Negeri Sembilan. Syaah ini telah didiami oleh senior-senior Negeri Sembilan sejak sebelum saya tiba di sini. Semasa tahun 1 saya selalu singgah di sini. Semasa itu ada abg Helmi Mahmad, Anuar, Zaki dan Abg Zulnasri. Setiap kali cuti semester mereka akan balik ke Kaherah dan disyaah inilah saya lepak, kerana di rumah ini ada tv dan dvd dan saya tidak mempunyai desktop lagi ketika itu.

Syaah pelajar-pelajar Negeri Sembilan

Saya menumpang barang-barang di sini untuk beberapa bulan, sebelum saya pindah ke syaah lain. Ini kerana semasa tahun 2, tuan rumah syaah yang saya tinggal bersama Ijam, Zam-zam dan Ijan Pahang ingin mengambil syaah tersebut kerana anaknya yang akan berkahwin akan tinggal di situ. Kami terpaksa akur dan terpaksa berpisah juga akhirnya. Kenangan yang amat sedih jika diingat kembali. Kebetulan ahli bait atau house mate syaah Abd Rahman Sabtani, sahabat lama sejak di SMRAG Gemenceheh saya akan pulang ke Malaysia, jadi saya akan menggantikan beliau. Syaah ini pula terletak di bawah syaah arwah ustaz Rizal, salah seorang senior rapat saya di Damanhur. Banyak kenangan saya bersama arwah sejak saya di tahun 1 dan ketika itu arwah belajar di Desuq cawangan al-Azhar yang terpencil dan tidak sepopular furuk yang lain. Ia terletak di sebuah negeri bernama Kafr Al-Syeikh. Salah sebuah tempat yang popular dengan tarikat di Mesir.Untuk ke sini perlu menaiki van dari Damanhur selama sejam. Ya Allah, banyaknya kenangan belajar di Damanhur ini.

Kawasan syaah semasa di tahun 3 dan 4
Anak Sungai Nil
Bergambar bersama ammu yang lalu ketika bergambar. Ammu dah pesan, hati2 ambil gambar, polis ramai di kawasan sini.

Selepas puas bergambar kami menaiki teksi menuju ke Kubri Alwi.

Inilah Kubri Alwi

Tempat pertama kami pergi ialah restoran Malukhiyyah, restoran yang tidak asing lagi bagi pelajar-pelajar Malaysia. Ini kerana baba Malukyiyyah seorang amat baik hati dan telah menyewakan satu syaah sebagai tempat tinggal dan untuk dijadikan markaz pelajar-pelajar Malaysia yang diberi nama Dewan Perwakilan Mahasiswa Damanhur. DPM ini adalah dibawah kelolaan PMRAM. Tapi, saya bukan ahli PMRAM ye. Saya sempat memperkenalkan diri kepada ammu yang menjadi cashier, dia amat gembira bila tahu saya merupakan pelajar Malaysia yang menuntut di sana dahulu. Tidak kurang juga pekerja-pekerja yang begitu exited ketika mengambil gambar. Saya sempat membeli dan menjamah Seguk dan Kibdah. Seguk ialah sosej ayam atau daging masak sambal dan kibdah ialah hati lembu yang dimasak khas. Kedua-dua bahan ini diletakkan di dalam roti feno atau isy. Dua makanan kegemaran saya sewaktu saya belajar dahulu. Semasa tahun 1 dan 2, setiap kali balik dari kuliah, tempat inilah menjadi tempat singgahan saya untuk mengalas perut.

Inilah kibdah.
Tempat mengalas perut semasa belajar

Di sebelahnya pula terdapat kedai asir (jus) dan sudah tentu air tebu menjadi kegemaran saya.

Pada tahun 2012 dan 2019
Di hadapan syaah semasa di tahun pertama
Syaah semasa tahun dua
Semasa Hari Raya Aidilfitri tahun 2006

Pengalaman ditahan Polis

Selepas itu kami menuju ke Syarik Makrizi, di mana terletaknya dua syaah yang pernah saya diami suatu ketika dahulu. Di sini semuanya masih sama, bahkan sampah sarap makin banyak di longgokan di beberapa kawasan. Saya sempat singgah di sebuah kedai runcit yang selalu saya kunjungi. Saya juga sempat berkunjung ke pasar yang terletak di kawasan belakang jalan. Pasar ini juga kerap saya kunjungi ketika hendak membeli barang-barang untuk memasak.

Pasar pagi di Syarik Makrizi

Selepas mengunjungi pasar, kami mengambil teksi untuk ke hotel semula. Kebetulan ketika tiba di rel keretapi, jalan ditutup kerana keretapi akan lalu. Teksi betul-betul berhenti di hadapan penghadang. Saya yang duduk di sebelah pemandu mengambil peluang untuk merakam suasana itu. Ketika palang dinaikkan, saya masih asyik memegang handpone, tiba-tiba seorang ammu atau bawwab polis (saja saya letak istilah bawwab, sebab die bukan polis pon, hanya penjaga palang) yang menjaga palang meluru ke arah saya dan merampas handphone saya. Dia kata ini kawasan larangan. Dia juga mengambil handphone Ghazali. Dia mengarahkan supaya pemandu teksi park di kawasan pondok dan kami keluar dari teksi. Darah saya berderau. Sepanjang saya tinggal di Damanhur dulu, saya tak pernah ditahan oleh polis. Saya dan Ghazali disuruh masuk dan duduk di pondok. Pemandu teksi diluar, sudah bising. Katanya” Dieorg ni mintak bayar murah, tapi saya pula kena tahan”. Bawwab polis menjawab” sepatutnya kamu halang dieorang dari mengambil gambar”. Ghazali mula bersuara mengatakan yang kami bekas pelajar di Damanhur dan datang untuk ziarah. Kami juga ada urusan dengan sarafah Malayzia di Alex selepas ini. Tapi, ammu tu buat tak endah. Die kata dia akan panggil ketua polis Damanhur untuk datang. Saya semakin panik dan langsung tak dapat nak bersuara. Seorang ammu lagi kata lepaskan saja mereka, bukan masalah besar. Tapi pakcik sorang ni tetap tak setuju dan terus menalifon pejabat polis. Hampir sejam juga kami menunggu. Kemudian datang sebuah jip polis. Beberapa orang pegawai turun. Salah seorangnya ialah berpangkat bintang 3. Saya tak pasti pangkatnya apa. Mukanya putih dan badan agak gempal. Dia bertanya kepada kami. Ghazali menjawab bahawa kami datang untuk menziarahi universiti, tempat belajar dahulu dan beberapa tempat lain. Kami mempunyai program dengan safarah di Iskandariah selepas ini. Antara detik yang tidak dapat saya lupakan, Ghazali siap kata yang saya seorang hakim di Malaysia, dengan tujuan untuk meyakinkan mereka yang kami bukannya orang jahat. Malangnya buktinya tiada bila diminta. Ketua polis itu membuka handphone saya dan melihat simpanan gambar di galeri. Bila dia melihat video rakaman keretapi die berkata, ” Mengambil gambar atau video keretapi adalah dilarang” dan terus delete video tersebut. Lama juga die membelek gambar-gambar saya termasuklah gambar-gambar di Jordan dan semasa menunaikan umrah. Gambar-gambar ini sebenarnya menjadi bukti bahawa saya datang bukan untuk berniat jahat. Lagipun saya nak buat apa dengan keretapi diMesir ini? Bukan cantik pon. Alhamdulillah, ketua polis itu bercakap dengan baik dan menyuruh saya pulang ke hotel. Di dalam teksi pemandu teksi tidak habis-habis merungut, katanya bayaran sikit tapi dia kena tahan. Asalnya bayaran ialah 7 genih sahaja, san saya bayar 10 genih supaya ammu tersebut tak bising lagi.

Kenangan kali pertama di tahan polis diarea sini

Sampai di hotel lebih kurang jam 12 tengahari, Khairul Firdaus membebel sebab sudah lambat. Bila kami terangkan hal yang terjadi baru die senyap. Itulah pengalaman yang tak dapat saya lupakan sampai bila-bila di Damanhur. Sukar nak dijangka bila kita berada di Mesir. Peraturan berubah-ubah. Amat bahaya sebenarnya kalau kita ditangkap, kerana penjara bawah tanah akan menanti. Silap-silap keduataan pon tak tahu kita berada di situ.

Selepas check out, kami menaiki teksi menuju ke Mujammak untuk pergi ke Iskandariah..

Antara nama kawasan di Damanhur

Walaupun dihantui kenangan pahit di hari terakhir, saya tetap merindui Damanhur.

Wahai bumi Damanhur, aku akan tetap merinduimu!!!

Insya Allah saya akan ke sini lagi suatu hari nanti.

Leave a comment