LAFAZ CERAI DI LUAR MAHKAMAH?USAH DIPANDANG RINGAN

Oleh: Suhaizad Saifuddin

LAFAZ TALAK MESTI DILAKUKAN DI DALAM PROSIDING MAHKAMAH

Acapkali kita menonton drama Melayu di televisyen menayangkan pergaduhan suami isteri dan diakhiri dengan lafaz cerai atau talak. Saya kira, ianya berjaya mempengaruhi masyarakat bahawa lafaz talak boleh dilakukan di mana -mana yang kita suka. Benar, lafaz talak boleh dilakukan dimana-mana tempat  dan ianya boleh gugur dan sah. Namun, menurut peruntukan undang-undang di dalam Enakmen / Akta Undang-undang Keluarga Islam negeri-negeri, lafaz talak perlulah di lakukan di dalam mahkamah sebagaimana yang dinyatakan di dalam seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984. Sekiranya lafaz talak  tersebut dibuat diluar mahkamah, pihak suami atau isteri hendaklah segera membuat pengesahan di Mahkamah Syariah dalam tempoh 7 hari sebagaimana yang dinyatakan pada seksyen 55 A akta tersebut. Selain bertujuan menjaga maslahah, kawalan ini perlu bagi mengelak dari berlakunya lafaz talak tiga sekaligus kerana di dalam prosiding mahkamah, hanya lafaz talak satu sahaja dibenarkan. Sek 55A  memperuntukan proses perbicaraan permohonan pengesahan lafaz cerai:

(1) Walau apa pun seksyen 54, seseorang yang telah menceraikan isterinya dengan lafaz talaq di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah, hendaklah dalam masa tujuh hari dari pelafazan talaq itu melaporkan kepada Mahkamah.

(2) Mahkamah hendaklah mengadakan siasatan untuk memastikan sama ada talaq yang dilafaz itu adalah sah mengikut Hukum Syarak.

(3) Jika Mahkamah berpuas hati bahawa talaq yang telah dilafazkan itu adalah sah mengikut Hukum Syarak, maka Mahkamah hendaklah, tertakluk kepada seksyen 124—

(a) membuat perintah membenarkan perceraian dengan talaq;

(b) merekodkan perceraian itu; dan
(c) menghantar salinan rekod itu kepada Pendaftar yang sewajarnya dan kepada Ketua Pendaftar bagi pendaftaran.

 

PENALTI

Sekiranya seseorang lelaki menceraikan isterinya atau melafazkan talak di luar mahkamah, dia boleh didakwa di bawah kesalahan matrimoni Perceraian di luar mahkamah dan tanpa kebenaran mahkamah. Seksyen 124 Akta Undang-undang Keluarga Islam ( Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984  menetapkan HUKUMAN seperti berikut:

Seseorang lelaki menceraikan isterinya dengan melafazkan talaq dengan apa-apa bentuk di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah itu maka dia melakukan suatu kesalahan dan hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

SEKIRANYA BERLAKU LAFAZ TALAK TERSEBUT , APA TINDAKAN YANG PERLU DILAKUKAN

Berbalik kepada tajuk yang dibincangkan, sekiranya berlaku apa-apa lafaz talak sama ada lafaz sarih ( jelas) atau kinayah ( sindiran), suami atau isteri perlulah membuat pengesahan di Mahkamah Rendah Syariah di mana mereka bermaustatin. Kebelakangan ini, ramai pihak tidak mahu membuat pengesahan lafaz tersebut di mahkamah kerana dikatakan menyusahkan dan sebuk bekerja. Maka, ianya dibiarkan berlalu begitu sahaja. Alasan ini biasanya ditimbulkan oleh pihak suami. Sekiranya suami telah melafazkan apa-apa lafaz talak dan isteri merasa ragu-ragu  dengan lafaz tersebut sama ada jatuh atau tidak, maka pihak isteri boleh membat permohonan PENGESAHAN  LAFAZ CERAI di mahkamah syariah.

MAHKAMAH SEBAGAI PIHAK YANG KOMPETEN

Mahkamah merupakan satu-satunya pihak yang layak untuk memutuskan bahawa sesuatu lafaz itu mengugurkan talak ataupun tidak. Acapkali juga diadukan bahawa terdapat segelintir masyarakat yang suka merujuk ustaz-ustaz yang bukan dari pihak mahkamah sendiri. Dalam Islam mahupun undang-undang, hanya hakim sahaja yang diberikan kuasa memutuskan dan berijtihad atas segala masalah perceraian yang berlaku. Sama ada individu yang dirujuk merupakan selebriti, ataupun penceramah terkenal masih belum melayakkan mereka untuk membuat apa-apa keputusan.

MENYEMBUNYIKAN LAFAZ TALAK DAN RUJUK? 

Isu ini juga kerap berlaku. Mungkin kerana stigma bahawa urusan di Mahkamah Syariah memakan masa yang lama, maka segelintir pihak membuat keputusan untuk tidak membuat pengesahan lafaz talak mahupun rujuk.  Begitu juga alasan sebuk bekerja sering dijadikan alasan. Dari sudut hukum, lafaz talak atau rujuk tersebut boleh jadi sah, namun dari segi undang-undang ianya menjadi satu kesalahan yang boleh didakwa. Ketahuilah, undang-undang digubal dan dikuatkuasa untuk menjaga maslahah masyarakat. Setiap pengesahan lafaz talak di mahkamah, sekiranya mahkamah menjatuhkan talak maka pihak suami dan isteri perlu membawa perintah mahkamah tersebut kepada pihak Bahagian Undang-undang Keluarga Islam, Pejabat Agama Daerah bagi tujuan rekod. Begitu juga dengan kes rujuk. Terdapat banyak kes dimana  pihak-pihak menyembunyikan lafaz talak di luar mahkamah, apabila hadir ke mahkamah mereka tidak mengetahui jumlah lafaz yang sebenar. Bahkan terdapat kes yang sudahpun melafazkan talak lebih dari 3 kali! Masalah ini akan menyebabkan kesukaran kepada pihak-pihak. Bayangkan selepas lafaz-lafaz talak tersebut mereka masih melakukan hubungan suami isteri sehingga melahirkan anak. Bagiamana status anak tersebut? kerana mahkamah akan memutuskan perceraian berlaku sejak tarikh lafaz dibuat, bukan tarikh keputusan mahkamah diputuskan.

IMPLIKASI MENYEMBUNYIKAN LAFAZ TALAK

Secara ringkasnya, menyembunyikan lafaz talak yang dilakukan diluar mahkamah boleh menyebabkan ketiadaan rekod di Pejabat Agama dan menyukarkan pihak-pihak untuk mengingat kembali butir kejadian sekiranya perkara yang sama berulang kembali di masa hadapan. Sekiranya ianya berlaku kembali, hakim perlu mengesahkan lafaz- lafaz talak yang terdahulu dan tentunya menjadi lebih sukar dan mengambil masa yang lama untuk hakim membuat keputusan pada masa akan datang. Sekiranya lafaz telah berlaku secara kerap pula boleh menyebabkan berlakunya talak tiga tanpa disedari dan menyebabkan suami isteri tidak boleh berkahwin semula. Lafaz talak diluar mahkamah  juga boleh berlaku dengan talak tiga sekaligus sudah tentu ianya akan menimbulkan kesukaran sekiranya disembunyikan. Sekiranya lafaz talak tidak dibawa untuk pengesahan, dikhuatiri rujuk yang berlaku tidak dibuat di dalam tempoh eddah . Selain itu, dikhuatiri  berlaku persetubuhan semasa berlakunya lafaz talak dan memberi kesan kepada nasab anak yang lahir.

 

LAFAZ TALAK SARIH ( Jelas) ATAU KINAYAH ( Tidak jelas @ sindiran)

Sebagaimana kita sedia maklum, terdapat dua jenis lafaz talak iaitu secara jelas dan secara tidak jelas atau sindiran. Sekiranya lafaz talak dilakukan mengikut prosiding mahkamah, lafaz yang digunakan sudah tentu secara jelas dan hanya talak satu dibenarkan. Manakala lafaz jelas dan tidak jelas ini boleh berlaku sekiranya lafaz talak dibuat diluar mahkamah. Lafaz secara jelas mesti menggunakan perkataan ” talak” atau “cerai”, misalnya suami berkata ” saya ceraikan awak”. Apabila suami tidak menyatakan bilangan talak, hakim akan menetapkan bahawa jatuhnya talak yang paling sedikit iaitu talak satu. Manakala lafaz secara kinayah pula berlaku secara percakapan mahupun perbuatan dan tulisan. Misalnya suami berkata kepada isteri ” Awak pergilah balik ke rumah mak awak, saya tidak perlukan awak lagi”. Sekiranya lafaz ini berlaku, maka ketika di dalam mahkamah, hakim akan menyoal suami sama ada dia pada KETIKA MENGUCAPKAN LAFAZ TERSEBUT, BERNIAT untuk menceraikan isteri ataupun tidak. Sekiranya suami menyatakan bahawa dia memang berniat untuk menceraikan isterinya, maka talak akan tergugur.

PENGAKUAN DAN TIDAK 

Satu lagi isu yang kerap berlaku, ialah suami tidak mengaku bahawa dia telah mengucapkan apa-apa lafaz sebagaimana yang didakwa oleh isteri. Apa yang dilakukan oleh pihak mahkamah? Prinsip undang-undang keterangan Islam menetapkan bahawa setiap dakwaan mesti disertakan dengan bukti. Kebiasaanya sesuatu lafaz talak yang diucapkan oleh suami di luar mahkamah berlaku kerana pergaduhan dan tidak saksi yang melihat pergaduhan dan mendengar lafaz suami tersebut. Apabila sesuatu dakwaan tidak dapat dibuktikan, maka hakim akan mengarahkan suami supaya bersumpah bagi menafikan dakwaan tersebut. Disini,tindakan suami amat besar kesannya. Ini kerana sekiranya suami sengaja berbohong sedangkan ianya benar-benar mengetahui kebenarannya, maka suami akan mendapat dosa kerana telah bersumpah dengan nama-nama Allah. Sekiranya suami bersumpah, maka dakwaan isteri akan diketepikan, manakala sekiranya suami tidak mahu bersumpah, sumpah tersebut akan dikembalikan kepada isteri dan sekiranya isteri bersumpah maka dakwan isteri akan diterima.

PERINTAH

Sekiranya mahkamah mengesahkan lafaz talak di luar mahkamah , maka mahkamah akan menetapkan tarikh jatuh talak ialah pada tarikh lafaz diucapkan dan menentukan tempoh eddah yang juga bermula daripada tarikh lafaz tersebut.

ULASAN KES

Muhammad Ridzuan Abd Latif lwn Zaanariah binti Mat Isa ( Jurnal Hukum, Jld 41 Bhg.1, 2015, hlm. 106).  Kes ini merupakan kes rayuan yang difailkan perayu ke Mahkamah Tinggi Syariah Kedah berkaitan pengesahan lafaz cerai yang telah diputuskan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kulim pada 16 Mac 2010. Hakim Bicara MRS Kulim telah memutuskan bahawa telah gugur talaq tiga sekaligus atau bain kubra kepada Responden. Untuk itu perayu telah merayu supaya mahkamah mengesahkan lafaz cerai yang telah dilafazkan pada 30 Disember 2009 jam lebih kurang 7 malam di rumah jiran dimana berlaku soal jawab antara perayu dan kawannya. Kawan Perayu bertanya ” Bini hang pi mana?” dan dijawab perayu ” cerai talak tiga”. Semasa kejadian responden tiada bersama.  Perayu mengemukakan dua orang saksi dimana saksi pertama telah mengesahkan mendengar lafaz tersebut dan menambah bahawa perayu memang suka melawak dan suka cakap lepas. Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kedah juga mengekalkan sabitan lafaz cerai tersebut dan mengekalkan perintah mahkamah terdahulu.

Kes ini boleh dijadikan panduan supaya lafaz talak tidak boleh diucap sesuka hati walaupun sekadar gurauan.

KESIMPULAN

Janganlah memandang ringan hukum-hakam dalam perkahwinan. Setiap undang-undang diwujudkan juga adalah untuk menjaga maslahah dan kepentingan anggota masyarakat. Apabila suami melafazkan ayat-ayat yang meragukan segeralah merujuk ke Mahkamah Syariah yang berhampiran dan berbidangkuasa. Sekiranya pihak-pihak memilih untuk berdiam diri, dikhuatiri akan menimbulkan masalah kepada rumahtangga di masa hadapan.

 

 

20 comments

  1. Assalamualaikum.
    Berikut perbualan antara suami isteri yg sedang berbincang ttg memohon suami lepaskan isteri atas sebab sebab tertentu.
    Isteri : bila papa nak lepaskan mama?
    Suami : bulan satu(2019) selepas urusan anak anak sekolah selesai.
    Soalan :
    Adakah jatuh talak?
    Bila mula jatuh talak?
    Bila perlu merujuk kepada mahkamah.Sekarang atau bulan 1 / 2019?
    Mohon pencerahan

    Like

    • Wslam puan, adakah perkataan NAK LEPASKAN itu yang dilafazkan isteri tersebut. Ada dua perkara yang perlu diambil kira iaitu perkataan nak dan lepaskan. Kedua dua perkataan tersebut pula diucapkan isteri bukan suami. Selalunya bila suami lafaz akan ceraikan ianya tidak termasuk taklik. Perkataan lepaskan juga adalah lafaz yang kinayah bukan soreh. Ianya perlu.kepada niat suami puan sama ada betul atau tidak semasa lafaz tersebut dia memang berniat nak jatuhkan talak. Katakanlah ia sah lafaz taklik , ayat selepas urusan anak anak sekolah selesai itu juga adalah umum. Bilakah urusan anak anak selesai baru jatuh talak. Pendapat saya puan buat pengesahan lafaz cerai di mahkamah syariah di mana puan tinggal kerana ayat tersebut boleh jadi cerai taklik boleh jadi tidak

      Like

  2. Assalammualaikum w.b.t
    Suami sy telah banyak kali melafazkan cerai terhadap sy (isteri). Namun, sy dan suami tidak pernah merujuk pada pihak ke3 tentang masalah itu. Setiap kali suami marah, dia akan lafazkan cerai dengan mudahnya. Lafaz yang terakhir sy terima “Sy ceraikan kau dengan talak 3” telah berlaku pada bulan 12 2018 . Sy jg masih belum rujuk di mana2 mahkamah syariah. Baru2 ini, sy telah kembali dekat dengan allah, setelah sekian lama menjauhkan diri. Apa yang sy rasa skrg, sy merasa seperti berdosa hidup bersama suami, dalam masa yang sama merasa takut KEHILANGAN. Sy akui, sy merasa tawar hati dan cuba menjauhkan diri dengan suami. Sy jarang bercerita dan berkongsi masalah berkenaan anak. Pertanyaan sy disini, adakah sy berdosa sbb tlh mengasingkan diri dari suami? Dan adakah jalan yg terbaik adalah berpisah.

    Like

    • Wslam, pendapat saya perkara pertama yang puan perlu lakukan ialah membuat pengesahan lafaz perceraian luar Mahkamah yang berlaku. Sekiranya suami tak mahu, puan kena buat permohonan sendiri. Puan kena tahu bahawa sekiranya puan sedar lafaz talak berlaku lebih 3 kali dan berlaku bersetubuhan ianya boleh dikatakan sebagai berzina. Sepanjang pengalaman saya, mereka yang terjerumus ke dalam masalah ini selalu tidak bahagia dan lebih menakutkan sekiranya memberi kesan kepada anak2 terutama sikap anak2. Janganlah di pandang sambil lewa masalah puan ini. Semua orang ada melakukan kesilapan dan janganlah berterusan melakukannya. Mengasingkan diri adalah jalan terbaik dan perlu berterus terang dengab suami puan apa yang sepatutnya dilakukan.

      Like

  3. as salam…sy nak tny seandai nyer seseorg itu ckp AKU CERAIKAN KAU (dlm kereta) pada isteri…kemudian dalam hari yang sama sebelum suami keluar rumah dia ckp AKU CERAIKAN KAU TALAK 1…sy nak tau talak brapa kah yg jatuh kalo suami lafazkan seperti tu dan kalo suami tidak mahu pergi ke mahkamah utk mengesahkan lafaz cerai itu…apa yg ptut isteri perlu buat..

    Like

    • Wslam, kalau ikut kepada cerita puan, mungkin sudah jatuh talak 2. Sekiranya suami tidak mahu pergi ke Mahkamah, menjadi tanggungjawab puan untuk bawa kes tersebut ke Mahkamah. Elakkan melakukan persetubuhan selagi kes belum selesai

      Like

  4. Salam admin,,semasa sy tgh tido isteri sy telah memukul sy di bahagian peha & memaki hamun sy kerana masih berhubung dengan bekas kekasih…sy telah jelaskn yg sy tiada apa² hubungan sulit dgn bekas kekasih tetapi isteri tetap tidak percaya & masih memukul sy…sy masih belum sedar 100% kerana baru bgn dari tido dan masih pening kerana sebelum tido sy ada meminum air ketum…akibat dari perbuatan dia sy telah melafazkn “aku cerai kau”..adakah jatuh talak & sekiranya jatuh bagaimana sy ingin merujuk balik kerana sy tidak berniat langsung untk menceraikn dia…apa harus sy lakukan admin ..mohon bantu saya.

    Like

    • Wslam, persoalan dan isu dalam kes encik ni berkaitan lafaz cerai dalam keadaan separuh sedar, kalau ikut pada hukum asal, tidak sah lafaz suami yang tidak berakal seperti gila dan sebagainya, kalau mabuk pula, mabuk yang diharuskan seperti untuk berubat. Dalam keadaan encik ni yang saya faham, encik minum air ketum, dan bukan untuk berubat. Cadangan saya, encik pergi daftar kes ke Mahkamah Syariah biar hakim tentukan jatuh talak atau tidak. Kalau tak jatuh encik tak perlu rujuk. InsyAllah kes encik boleh selesai dalam masa yang munasabah.

      Like

  5. Salam admin..sy ade kemusykilan tentang lafaz cerai dan ugutan..adik sy bergaduh dan kerana terlalu marah suaminya ada menghantar wassap..
    “aku ceraikan kau mariam bt sulaiman dengan talak satu.kau nak aku ubah nama kaunyg betul ker? Nama sebenar adik maria bt sulaiman..dan mereka tak rujuk pd mahkamah syariah dan memutuskan jatuh walau suaminya kata takmjatuh dan suaminya oleh kerana semua org kata jatuh die lafazkan aku rujuk balik dengan kau maria bt sulaiman..adakah jatuh talaknya??”
    Kali kedua bergaduh semula dan ugutan yg berbunyi, last warning, kalau kau tak amgkat call aku, aku ceraikan kau..tapi first call die taknangkat sbb bengang dgn ugutan tu..second sebab line problem..yg ketiga baru die angkat..adakah jatuh talaknya??
    Harap dapat menjawab kemusykilan ini..
    Dan kl lewat melaporkan lafaz cerai bagaimana kesannya dan dendanya?

    Like

    • Wslam, berkaitan masalah pertama, pendapat saya lebih kepada gugur talak,sebab suaminya memang niatkan isterinya bukan orang lain. Untuk masalah kedua juga saya berpendapat mungkin gugur talak. Mohon suami atau isteri failkan pengesahan talak segera. Terima kasih

      Like

  6. assalamualaikum… admin saya nak bertanya .. apakah ayat betul ke abg nsk lepaskan saya… suami jawab ya ..apakah ia jatuh talak.. ingin kepastian…

    Like

  7. Assalamualaikum admin, saya nak bertanya..saya sudah membuat pengesahan cerai dekat Mahkamah baru2 ini sebab ragu2 ayat suami yang menyatakan ingin berpisah dan sudah mendapat tarikh untuk hadir ke Mahkamah pada tarikh yang telah ditetapkan.Lepas dua hari kemudian, suami saya menghantar whatsApp yang berbunyi “NAMA SEBENAR SAYA, aku ceraikan kau dengan talak satu”.Kemudian saya cakap dengan dia kalau boleh cerai depan2 dan dia terus datang ke rumah saudara dan lafazkan cerai sekali lagi depan saya dan 3 org saksi..Adakah saya perlu melaporkan sekali lagi ke Mahkamah atau tunggu sahaja sehingga tarikh yang telah ditetapkan oleh Mahkamah?

    Like

  8. assalamualaikum,
    sy ade bergaduh dengan wife melalui wtsap..dan sy mengadu pada ibu sy..sy balik dari laut nnti sy nak cerai kan wife sy..tapi sy tak berniat utk mencerai kan nya..sy sengaja buat mcm tu..biar ibu sy risau dan bertanya pada wife sy seolah2 sy betul2 dah x tahan dengan dia..niat sy yg sebenar cuma ingin takut kn wife sy supaya dia sedar dan mengubah sikap untuk rumah tangga kami..adakah di kira jatuh talak..kerana sehingga kini ibu sy cuma bertanya tentang masalah yang kami hadapi pada nyer..bila sy tanya berkaitan cerai..ibu sy tidak maklum kn pada wife sy..di khuatiri memberi tekanan kepada wife kerana sedang pragnant..higga kini wife sy tak pernah tahu tentang lafaz yang sy sebut kn ketika wtsapp dengan ibu..mohon pencerahan..

    Like

  9. AssalamuAlaikum saya ingin brtanya…Denda lafaz Taklik Diluar mahkhamah Berapa..? SEBAB bila tanya Kawan ii mcm ii ..ade Yg kata lebih pada rm1000 PUN ADE..susah Hati Dibuatnye…
    Itu Sahaja..Terima ksih…

    Like

  10. Assalamualaikum..tuan,saya ingin bertanya soalan tentang lafaz cerai diluar mahkamah,adik saya lelaki telah bergaduh dengan isterinya berlaku pada 8 tahun lalu dan telah melafazkan cerai dengan niat terhadap isteri beliau dan pada waktu itu yang mendengar dan melihat pergaduhan hanya anak perempuan mereka yang berumur 10 tahun dan belum lgi akhirbhlil,selepas itu adik saya tidak lagi tinggal bersama isterinya sampai lah sekarang,dalam tempoh tidak bersama 2 3 tahun itu adik saya telah berkahwin dengan wanita lain di sebelah thai,setelah itu adik saya ingin menjaga salah seorang anak beliau tapi isterinya tidak membenarkan adik saya menjaga atau berjumpa dengan anak2 mereka dan menghasut anak2 agar membenci ayahnya sehingga anak2 tengok kelibat ayahnya saja terus lari,tetapi adik tetap memberi duit untuk anak2 mereka membeli pakaian raya,sekolah walaupun sikit dan bukan selalu kerana adik cuma kerja kampung,buruh binaan yang ada ketika mengangur duduk rumah sampai 2 3 bulan tak kerja,selama itu ada sekali isteri beliau membuat tuntutan perceraian dan tak bersunguh sunguh menyelesaikan hal itu alasan isteri beliau malas dan sibuk kerja,dan adik saya selama 9 tahun tidak tinggal dengan isteri beliau tak pernah membuat fail kes ke pejabat agama ataupun mahkamah kerana takut dengan masalah kewanggan dan khuatir didenda dan dipenjara..maaf saya bertanya apakah denda dan dipenjara diharuskan dalam syariah islam tuan,dan atas masalah mereka ini apakah tindakan yang mahkamah akan ambil..harap tuan/puan dapat jelaskan sedikit tentang masalah mereka ini agar kekusutan terhurai..terima kasih tuan/puan atas makluman/info yang akan diberikan nanti hanya allah sahaja dapat membalas budi baik tuan/puan..

    Like

    • Wslam, sepatutnya adik puan perlu membuat permohonan pengesahan lafaz cerai di luar mahkamah, selepas selesai dia boleh dikenakan hukuman denda tak lebih 1k atau 6 bulan penjara atau kedua2nya, soal hukuman ada dalam syariat atau tidak, Islam membenarkan pemerintah membuat apa2 Undang-undang demi maslahah masyarakat. Tetapi hukuman penjara belum pernah lagi dikenakan bagi kesalahan begini. Untuk masalah anak pula, die kena selesaikan urusan perceraian dahulu kemudian buat tuntutan hak jagaan anak, kalau boleh buat tuntutan nafkah anak sekali. Tq

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s