TANGGUNGJAWAB MEMBIAYAI NAFKAH ANAK YATIM

HAK VS TANGGUNGJAWAB

Baru-baru ini terpapar satu berita berkaitan dengan pertikaian seorang selebriti berhubung harta pusaka arwah anaknya yang dikatakan tidak ditunaikan oleh pihak menantu. Benar, sekiranya beliau mempunyai hak dalam pembahagian harta pusaka, maka ia perlu dilunaskan.Tapi, seringkali kita lihat ramai di antara kita selalu bercakap mengenai HAK, tetapi kurang memberi perhatian berkaitan TANGGUNGJAWAB…..

DARI MANA SUMBER NAFKAH ANAK YATIM

Menurut hukum fiqh, sumber nafkah anak yatim adalah daripada hartanya sendiri jika dia mempunyai harta seperti pusaka yang diwarisi daripada warisnya. Sekiranya anak yatim tersebut tidak berharta, maka sumber nafkahnya adalah daripada ahli waris, dan jika dia tidak mempunyai waris, maka sumber nafkahnyaadalah daripada Baitul Mal.

AHLI WARIS YANG BERTANGGUNGJAWAB

Mazhab Hanafi dan Mazhab Hanbali mewajibkan nafkah anak yatim ke atas waris-waris yang mempunyai hubungan dari segi perwarisan (ashab al-furud dan ‘asabah) seperti datuk sebelah bapa dan bapa saudara sebelah bapa. Seterusnya hubungan kerabat pewaris (dhawi al-arham) seperti datuk sebelah ibu dan bapa saudara sebelah ibu sekiranya tidak mempunyai ahli waris pewarisan.Sementara dalam Mazhab Syafi’i, nafkah anak wajib ditanggung oleh usul-usulnya (iaitu bapa, ibu, datuk, nenek hingga ke atas) dengan didahulukan usul lelaki sebelum usul perempuan.Selama mana masih ada usul lelaki (bapa, datuk hingga seterusnya), nafkah tidak ditanggung oleh usul perempuan (ibu, nenek hingga seterusnya).Bagi anak yang kematian bapa atau bapanya tidak mampu, nafkahnya wajib ditanggung olehdatuknya, diikuti oleh bapa kepada datuknyahinggalah seterusnya ke atas. Titik bersamaan di antara kedua-dua pandangan ini ialah datuk sebelah bapa merupakan pihak yang diutamakan untuk membiayai nafkah anak yatim.

SYARAT -SYARAT YANG MEWAJIBKAN

Ahli waris wajib membayar nafkah anak yatim dalam keadaan:

1. Anak yatim tidak memiliki harta yangmencukupi bagi membiayai keperluannya.

2. Anak yatim seorang yang lemah untuk mencari pendapatanatau bekerja seperti kanak-kanak, perempuan dan sibuk dalam menuntut ilmu.

3. Ahli waris merupakan seorang yang senang atauberkemampuan. Kesenangan menurut jumhurialah mempunyai lebihan daripada tanggunganyang wajib dan utama yang perlu ditanggungdahulu oleh ahli waris.

4. Persamaan agama antara anak yatim dan ahli waris.

NAFKAH ANAK YATIM MENURUT UNDANG-UNDANG.

Seksyen 72 (2) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 menetapkan:

(1) Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.

(2) Kecuali seperti tersebut di atas, adalah menjadi kewajipan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak, supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak jika bapa kanak-kanak itu telah mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika dan setakat mana bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka.

Sementara itu, Arahan Amalan No. 14 Tahun 2007 menetapkan:”Orang-orang yang bertanggungan mengikut Hukum Syarak yang boleh diperintahkan membayar nafkah bagi seseorang tertentu mengikut peruntukan Undang-undang Keluarga Islam Negeri-negeri ialah waris-waris lelaki mengikut tertib `asobah dalam faraid.2. Sekiranya waris-waris lelaki tiada atau tidak berupaya, Mahkamah boleh memperakukannya kepada Baitulmal untuk membayar nafkah tersebut”.

Yang dimaksudkan dengan’Asobah di sini iaitu ‘Asobah Bi Nafs (12 orang yang terdiri daripada bapa (datuk anak yatim), datuk (moyang anak yatim), saudara lelaki seibu sebapa (bapa saudara sebelah bapa) dll. Sebagai kesimpulan, HAK dan TANGGUNGJAWAB perlu seimbang. Dalam kita menuntut HAK jangan sampai kita mengabaikan TANGGUNGJAWAB yang lebih utama untuk ditunaikan.

Terima kasih,

SUHAIZAD SAIFUDDIN

Leave a comment