Tuntutan Harta Sepencarian: Bagaimana ia di tentukan di Mahkamah #Bahagian 1 (Cerai Hidup)

Tuntutan Harta Sepencarian: Bagaimana ia ditentukan di Mahkamah Syariah #Bahagian 1 (Cerai Hidup)
Oleh: Suhaizad Saifuddin

Pengertian
Harta Sepencarian dapat difahami sebagai harta yang diperolehi hasil usaha bersama suami isteri atau hasil usaha tunggal salah seorang dalam tempoh perkahwinan. Ia juga merupakan harta yang diperolehi hasil usaha tunggal sebelum perkahwinan (semasa bujang) tetapi dimajukan secara bersama suami isteri semasa dalam tempoh perkahwinan. (Rujuk seksyen 58 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah Persekutuan 1984, seksyen 122 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Sembilan 2003 dan negeri-negeri lain).
Jadi, terdapat 3 jenis perolehan harta yang termasuk di dalam maksud Harta Sepencarian iaitu;
1. Harta yang diperolehi hasil usaha bersama dalam tempoh perkahwinan;
2. Harta yang diperolehi hasil usaha salah satu pihak semasa dalam tempoh perkahwinan;
3. Harta yang diperolehi hasil usaha salah satu pihak sebelum perkahwinan dan dimajukan Salam tempoh perkahwinan.

Sering berlaku salah faham bahawa tuntutan Harta Sepencarian ini hanya boleh dibuat terhadap harta di atas nama suami sahaja atau nama bersama, sedangkan harta di atas nama isteri yang termasuk di dalam pengertian tersebut juga boleh di tuntut oleh pihak suami.

Jenis Tuntutan
Sama ada di sebabkan cerai hidup atau cerai mati

Harta Yang Boleh Dituntut
Asasnya terdapat 2 jenis harta yang boleh dituntut iaitu harta alih seperti kenderaan dan harta tidak alih seperti rumah dan tanah. Ini termasuklah saham, bayaran misalnya bayaran sewa dan apa-apa faedah. Namun tak semuanya boleh di tuntut sebagai Harta Sepencarian seperti wang KWSP, wang simpanan, pencen, gratuiti dan sebagainya.

Pendaftaran
Tuntutan hanya boleh di buat di Mahkamah Tinggi Syariah di mana pemohon tinggal. Semasa pendaftaran, pastikan salinan dokumen pernikahan atau perceraian, kad pengenalan dan dokumen harta di kemukanan bersama. Butiran harta yang dituntut mesti lengkap dan jelas, misalnya sebuah  rumah mesti ada jenis rumah, di atas nama siapa, nombor geran (PSD atau hak milik), nombor PT atau Lot, Mukim atau Pekan, Daerah, Negeri dan alamat. Contoh:
1. Sebuah rumah teres satu tingkat, No. HSD:1234, No. Lot 567,Mukim xxx, Daerah Seremban, Negeri Sembilan yang beralamat di No 890, Jalan USJ 1, Taman Nusari, 75928 Seremban, Negeri Sembilan. Rumah tersebut di beli pada tahun 1999 dan didaftarkan di atas nama Mohd xxx
2. Sebuah kereta jenis Honda CRV, No. Pendaftaran V777, yang di beli pada tahun 2019 dan didaftarkan di atas nama Mohd xxx.

Mesti melalui Majlis Sulh
Semua kes Tuntutan Harta Sepencarian yang didaftarkan mesti melalui majlis sulh. (Boleh baca post saya mengenai Majlis Sulh sekiranya tidak faham). Sebaik sahaja pendaftaran kes, pihak mahkamah akan memberi satu notis Majlis Sulh yang tertera tarikh dan lokasi pertemuan tersebut. Hanya suami, isteri dan Pegawai Sulh sahaja dibenarkan masuk. Bawalah semua dokumen-dokumen asal berkaitan harta dan berbincanglah secara baik. Sekiranya anda mempunyai beberapa kes dalam perbincangan yang sama seperti mutaah, nafkah eddah dan sebagainya negotiate amat penting. Mungkin mohon bahagian Harta Sepencarian dikurangkan dan mutaah dinaikkan sedikit atau sebaliknya. Mungkin juga tuntutan mutaah digugurkan, tapi salah satu Harta Sepencarian diberi terus kepada bekas isteri dan sebagainya. Contoh penyelesaian secara Sulh:
1. Pihak Plaintif dan Defendan bersetuju untuk mengisytiharkan harta berikut sebagai Harta Sepencarian diantara pihak-pihak:

I. Sebuah rumah teres satu tingkat, No. HSD:1234, No. Lot 567,Mukim xxx, Daerah Seremban, Negeri Sembilan yang beralamat di No 890, Jalan USJ 1, Taman Nusari, 75928 Seremban, Negeri Sembilan. Rumah tersebut di beli pada tahun 1999 dan didaftarkan di atas nama Plaintif . Pihak Plaintif dan Defendan bersetuju untuk menjual rumah tersebut dan hasil jualan selepas ditolak hutang bank akan di bahagi sama rata di antara kedua-dua pihak. Bayaran dibuat dengan memasukkan wang ke dalam akaun Maybank Defendan, No. Akaun;123466 sebelum 31 Disember 2019 atau selepas rumah tersebut berjaya dijual.
2.Sebuah kereta jenis Honda CRV, No. Pendaftaran V777, yang di beli pada tahun 2019 dan didaftarkan di atas nama Plaintif. Pihak Plaintif dan Defendan bersetuju untuk menjual kereta tersebut dan hasil jualan selepas di tolak hutang bank di bahagi sama rata di antara kedua-dua pihak. ATAU pihak Plaintif bersetuju untuk menyerahkan kereta tersebut kepada Defendan.
Sekiranya perbincangan tersebut gagal, kes tersebut akan di bawa untuk prosiding perbicaraan pada suatu tarikh yang lain.

Prosiding Perbicaraan
Dimulakan dengan peringkat sebutan kes di hadapan Pendaftar. Semasa peringkat ini, pihak-pihak akan diberitahu apakah yang mereka perlu lakukan dan persediaan untuk perbicaraan nanti.

Bagaimana Tuntutan Harta Sepencarian ditentukan
Sekiranya melalui prosiding perbicaraan, adalah menjadi tanggungjawab pihak mahkamah iaitu Hakim Syarie untuk memutuskan kes tersebut berdasarkan keterangan dan pembuktian yang ada. Dalam menentukan bahagian masing-masing mahkamah akan melihat kepada bagaimana harta tersebut diperolehi sebagaimana yang dijelaskan di dalam pengertian di atas:
1.Sekiranya harta tersebut diperolehi secara bersama di mana pihak-pihak telah membelanjakan wang sama banyak bagi mendapat harta tersebut seperti bayaran bulanan, maka mahkamah akan memutuskan supaya harta tersebut di bahagi sama rata selepas hutang-hutang di tolak. Perlu ambil perhatian bahawa nama yang didaftarkan secara bersama tetapi dibayar oleh salah seorang pihak sahaja tidak termasuk di dalam pembahagian ini. Yang diambil kira ialah siapa yang membayar atau siapa yang membuat pinjaman bank, bukan nama siapa yang didaftarkan. Pihak yang menuntut perlu membuktikan bahawa beliau telah menyumbang kepada sumbangan langsung iaitu wang yang sama banyak dan sumbangan tidak langsung berupa tanggungjawab menjaga kebajikan keluarga semasa dalam tempoh perkahwinan. Sekiranya mahkamah memutuskan supaya sebuah rumah dijual dan baki nilaian rumah tersebut selepas di tolak hutang di bahagi sama rata, pihak yang mahu kekal untuk memiliki rumah tersebut boleh membayar nilaian yang di putuskan tanpa menjual rumah tersebut.
2. Sekiranya harta tersebut diperolehi dengan usaha salah seorang pihak sahaja semasa di dalam tempoh perkahwinan, atau sebelum perkahwinan tetapi dimajukan dalam tempoh perkahwinan, mahkamah akan memutuskan pihak yang mendapatkan harta tersebut akan mendapat nilaian yang lebih besar. Dalam kes sebegini, pihak yang menuntut perlu membuktikan bahawa beliau telah melakukan sumbangan secara langsung sekiranya ada dan tidak langsung dalam memperolehi harta tersebut. Sumbangan langsung berbentuk wang oleh pihak Plaintif kebiasaannya tidak besar atau banyak. Sumbangan tidak langsung tersebut seperti menjaga dan menguruskan hal ehwal keluarga misalnya makan minum dan sebagainya. Ada yang mengatakan bahawa bagi kes sebegini mahkamah pada kebiasaannya akan memberi lebih kurang 30% atau 1/4 dari nilaian harta, tetapi ia bukanlah satu figure yang pasti, kerana mahkamah kan melihat banyak faktor-faktor  sebelum membuat keputusan. Sekiranya mahkamah memutuskan Defendan perlu membayar 1/4 bahagian dari nilai rumah misalnya, dan ia merupakan satu-satunya rumah yang Plaintif miliki, Plaintif boleh membayar nilaian  tanpa menjual rumah tersebut.
Kesimpulannya, terdapat dua jenis sumbangan yang perlu dibuktikan iaitu sumbangan secara langsung berupa wang dan sumbangan secara tidak langsung iaitu tanggungjawab menjaga kebajikan keluarga semasa dalam tempoh perkahwinan

Peruntukan Undang-undang

(Rujuk seksyen 58 Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah Persekutuan 1984, seksyen 122 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Sembilan dan Selangor 2003 dan negeri-negeri lain).

 Kuasa Mahkamah memerintah pembahagian harta sepencarian
(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian, memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperoleh oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagikan antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.


(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian kepada—
    (a) takat sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperolehi aset itu;
      (b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
        (c) keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada,dan, tertakluk kepada pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah membuat pembahagian yang sama banyak.

        (3) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

        (4) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (3), Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada—
          (a) takat sumbangan yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperolehi aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga;
            (b) keperluan anak-anak yang belum dewasa daripada perkahwinan itu, jika ada,dan, tertakluk kepada pertimbangan itu, Mahkamah boleh membahagikan aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang difikirkannya munasabah, tetapi, walau bagaimanapun, pihak yang telah memperoleh aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

            (5) Bagi maksud seksyen ini, rujukan mengenai aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan termasuklah aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi itu atau dengan usaha bersama mereka
            Analisis Kes
            1. Kes Md. Yusof Abd. Rahman Iwn. Norlia Abd. Aziz, Jurnal Hukum XXI/I, 2006
            Perayu membuat rayuan atas keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang telah memberi hak 1/3 kepada bekas isteri. Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu memutuskan bahawa bekas isteri gagal buktikan sumbangan tak langsung dan dengan itu gagal mendapat bahagian 1/3 daripada harta yang dituntut sepertimana yang biasa diperolehi oleh isteri yang menjadi surirumah sepenuh masa. Dalam kes ini, isteri ada memberi sedikit sumbangan untuk memperolehi rumah yang dipertikai, dan oleh itu panel hakim memberikan kadar 1/6 daripada nilai rumah berkenaan dengan mengambilkira sumbangan langsung semasa membeli rumah berkenaan.

            2. Kes Mohamad Ainuddin Mohamad Nasurdin lwn. Rohani Ismail, Jurnal Hukum XXI/I, 2006.
            Mahkamah Rayuan Syariah Shah Alam menetapkan bahagian 1/3 daripada nilai rumah dan kereta setelah menerima sumbangan khidmat isteri menjaga rumahtangga dan anak-anak. Isteri juga kemuka dua saksi wanita iaitu jiran dan adik responden yang menjadi saksi bahawa responden pernah menjual kuih untuk menampung keperluan keluarga selain menguruskan rumahtangga.

            3. Dalam kes Wan Mohd Azemin Wan Ahmad Iwn. Siti Zabidah Ja’afar  kedua- dua pihak saling mengaku tentang sumbangan dalam pemilikan rumah dan kereta dan Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan membahagi dua rumah dan kereta tersebut. Kedua-dua pihak mengaku bersama-sama bayar deposit kereta, rumah dan sumbangan wang gaji setiap bulan. Pada masa yang sama juga hutang yang belum dijelas bagi harta-harta berkenaan juga perlu ditanggung secara bersama.

            Kesimpulannya, pihak-pihak yang menuntut perlu mengemukakan pembuktian bagi membuktikan sumbangan langsung atau sumbangan tidak langsung bagi mendapatkan hak-hak mereka. Dengan pembuktian tersebut barulah hakim boleh membuat keputusan.

            Leave a Reply

            Fill in your details below or click an icon to log in:

            WordPress.com Logo

            You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

            Google photo

            You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

            Twitter picture

            You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

            Facebook photo

            You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

            Connecting to %s