ISLAMKAH UNDANG-UNDANG JENAYAH DI MAHKAMAH SIVIL?

ISLAMKAH UNDANG-UNDANG JENAYAH DI MAHKAMAH SIVIL?

Saya tak mahu berbincang berhubung keputusan Nik Erin. BUAT MASA SEKARANG, kita perlu akur bahawa tidak boleh berlaku pertindihan gubalan undang-undang di peringkat DUN dan Persekutuan.

Apa yang boleh dilakukan? Pinda Perlembagaan? Sukar walau tidak mustahil. Tapi itulah yang sepatutnya. Selagi undang-undang itu ciptaan manusia, ia boleh dipinda.

Pendapat saya yang kerdil ini, perbaiki segera lompang-lompang lakuna terutama Enakmen Tatacara Jenayah Syariah dan Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah serta perkemas Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah di setiap negeri itu lebih utama. Mantapkan barisan Penguatkuasa Agama dan angkat kredibiliti institusi kehakiman Syariah melalui penghakiman dan hukuman jenayah syariah terhadap kes sedia ada itu lebih sepatutnya. Jangan jadi “yang dikejar tak dapat yang dikencong berciciran”.

Berbalik kepada persoalan diatas,

Adakah kesalahan jenayah yang dibicarakan di Mahkamah Sivil atau Undang-undang Jenayah yang berkuatkuasa di Mahkamah Sivil boleh diklasifikan sebagai hukuman takzir? Perkara yang menarik untuk dibincangkan.

Takzir dari aspek bahasa berasal daripada kata kerja ‘azara yang bermaksud menolak atau menghalang.Dari segi istilah ialah hukuman yang dikenakan ke atas orang yang membuat kesalahan dan maksiat atau orang yang mencuaikan kewajipan yang tidak ditetapkan hukuman keseksaannya di dalam al-quran dan Hadis atau hukuman yang dikenakan ke atas orang yang melakukan jenayah yang telah ditetapkan keseksaaannya tetapi tidak cukup syarat bagi mengenakan keseksaan itu.

Dalam Islam hukuman takzir mempunyai “thawabit” iaitu garis panduan dan “khasais” iaitu ciri-ciri tertentu. Pandangan saya, bukan semua undang-undang jenayah yang tidak termasuk kategori hudud atau qisas boleh dilabel terus sebagai takzir.

Tidak boleh hanya melihat dari aspek definisi sahaja. Sekiranya memenuhi thawabit dan khasaisnya, barulah boleh dikatakan sebagai hukuman takzir. Dikatakan takzir juga apabila hukuman bagi kesalahan hudud dan qisas tidak cukup syarat atau tahap piawaiannya, maka beralih kepada hukuman takzir.

Kesalahan takzir juga mempunyai pembahagian seperti perkara maksiat yang berlawanan dengan syarak, takzir untuk kepentingan umum dan kesalahan kecil. Perhatikan juga perkara asas seperti falsafah dan objektif fiqh jenayah dalam Islam dan common law. Adakah pelanduk dua serupa?

Misalan lain perhatikan juga cara dan kaedah sebatan yang di amalkan di Mahkamah Sivil, adakah selaras dengan kehendak syarak. Itu belum lagi kaedah pembuktian atau cara memberikan keterangan.

Sekiranya hukuman dalam Kanun Keseksaan dan Akta kesalahan lain dikatakan tazkir, maka undang-undang jenayah di British atau Indian Penal Code di India (Kanun Keseksaan Malaysia di adaptasi dari sana) dan negara bukan Islam yang lain juga boleh dikatakan sebagai hukuman takzir??? 😅😅😅

Hanya sekadar pandangan…

Terima kasih,
Suhaizad Saifuddin
Fakulti Undang-undang, UKM.

Leave a comment