PERKEMBANGAN SISTEM PENTADBIRAN KEHAKIMAN SYARIAH DI MALAYSIA : SATU SOROTAN

PERKEMBANGAN SISTEM PENTADBIRAN KEHAKIMAN SYARIAH DI MALAYSIA : SATU SOROTAN

Oleh : Suhaizad bin Saifuddin

 

Perkembangan Sistem Pentadbiran Kehakiman Syariah di Malaysia Satu Sorotan

  • PENGENALAN

 

Dalam Islam, keadilan  dalam undang-undang bersifat mutlak. Sebarang bentuk kezaliman, penyelewengan, rasuah, pilih kasih, penyalahgunaan kuasa dalam bentuk apa sekalipun ditentang dan wajib dihapuskan kerana Islam tidak pernah bertolak ansur terhadap perkara-perkara tersebut tadi. Melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang dalam Islam adalah satu tugas dan kewajipan setiap Muslim dan tidak boleh dipisahkan sama sekali.  Hadaf syariat perundangan dalam Islam adalah untuk  mencegah dan membanteras kezaliman dan menegakkan keadilan. Untuk melaksanakan kehendak syariat ini maka ianya memerlukan kepada wujudnya institusi kehakiman yang dikenali sebagai “ wilayah al-qada.”  Untuk menyelesaikan perbalahan antara pihak yang terlibat dengan hukuman –hukuman yang hak yang berdasarkan kepada hukuman yang telah ditetapkan Allah s.w.t. Mewujud dan menegakkan institusi kehakiman Islam dan melantik kadi-kadinya dalah merupakan perjalanan sunah Baginda s.a.w. yang diikut, tuntutan syarak yang wajib dilaksanakan dan fardu yang tidak boleh dielak atau diabaikan.

Malaysia mengamalkan sistem dwi undang-undang yang diimplementasi oleh dua institusi kehakiman yang berbeza iaitu Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Perlembagaan Persekutuan yang merupakan perundangan tertinggi di negara ini telah menetapkan bahawa Mahkamah Sivil diletakkan di bawah bidangkuasa persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan pada perkara 7, Jadual Kesembilan, senarai I (Senarai Persekutuan). Manakala Mahkamah Syariah diletakkan di bawah bidangkuasa negeri-negeri sebagaimana yang di peruntukan dalam Jadual Kesembilan, Senarai II (Senarai Negeri) yang menyentuh tentang undang-undang Islam dan bidangkuasa Mahkamah Syariah. Perlembagaan Persekutuan  secara khusus  menyentuh  berhubung dengan undang-undang keluarga dan diri serta  klausa ‘hukum Syarak’ dan ‘hukum dan doktrin Syarak’ yang menjadi intipati dalam bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Keunikan sistem perundangan di Malaysia banyak dipengaruhi dengan kedatangan Biritish ke nagara ini. Dalam susur jalur sejarah, Mahkamah Syariah sebelum kedatangan penjajah telah dijadikan tempat bagi mendapatkan keadilan dengan kuasa rayuan diberikan kepada Sultan Walau bagaimanapun, selepas kedatangan British, mahkamah-mahkamah lain telah ditubuhkan di atas nasihat pihak berkuasa British dan Mahkamah Syariah telah diletakkan di taraf yang amat rendah dan bidang kuasanya telah dibatasi. Sebelum 1948, Mahkamah Syariah telah diletakkan di dalam struktur dan hierarki mahkamah negara bersama mahkamah yang lain. Namun dengan lulusnya Courts Ordinance 1948, mahkamah Syariah telah dipisahkan dari Mahkamah Persekutuan. Namun selepas kemerdekaan Malaysia, status Mahkamah Syariah telah diubah menjadi mahkamah negeri-negeri.

Objektif kajian ini adalah untuk mengkaji sejarah penubuhan Mahkamah Syariah di era perkembangan Islam bermula dari zaman Baginda Rasulullah s.a.w. umumnya dan di negara Malaysia khususnya. Kajian ini juga bertujuan untuk pengenalpasti perkembangan Mahkamah Syariah sebelum dan selepas kemerdekaan di Malaysia selain mengenalpasti apakah perubahan-perubahan yang berlaku sepanjang tempoh masa tersebut. Disamping itu, kajian ini bertujuan untuk menjelaskan usaha-usaha yang dilakukan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam memartabatkan Mahkamah Syariah selaras dengan Mahkamah Sivil di Malaysia.

Bagi mencapai objektif tersebut, kajian ini akan mengupas perkembangan institusi kehakiman Islam di Malaysia dimana secara khusus penulisan ini akan mengkaji perubahan yang dialami oleh Mahkamah Syariah bermula dari era sebelum kemerdekaan sehingga pasca kemerdekaan dan perkembangan terkini. Sebagai pengenalan kajian ini akan mengupas secara literal berhubung dengan sejarah penubuhan institusi kehakiman Islam atau Mahkamah Syariah bermula dari zaman Rasulullah s.a.w. sehinggalah era kerajaan Umayyah. Dalam konteks ini juga penulisan ini akan menyentuh sejarah penubuhan Mahkamah Syariah di Malaysia bagi melihat sejauhmana hubungan dan persamaan yang wujud di antara Malaysia dengan zaman kebangkitan Islam. Oleh kerana Malaysia mengamalkan dwi undang-undang yang berbeza, artikel ini juga turut membincangkan mengenai usaha yang dilakukan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dalam memartabatkan Mahkamah Syariah selaras dengan Mahkamah Sivil di Malaysia.

  • SEJARAH PENUBUHAN MAHKAMAH SYARIAH

2.1       Zaman  Perkembangan Islam

Kehakiman telah wujud sejak zaman Rasulullah s.a.w. lagi. Rasulullah s.a.w. telah diutus oleh Allah untuk menjadi Nabi dan Rasul, menjadi rahmat untuk sekelian alam, menjadi pemimpin dan ikutan, menjadi contoh dan teladan, menjadi pemerintah dan hakim demikianlah seterusnya. Baginda Rasulullah s.a.w. merukpakan ketua pemerintah, pentadbir dan pelaksanan bagi kerajaan Islam yang pertama di Madinah. Pada masa yang sama ketua bagi institusi kehakiman Islam. Baginda merupakan hakim tertinggi dan rujukan terakhir dalam bidang kehakiman. Baginda telah memutuskan kes dan menyelesaikan pertikaian berdasarkan undang-undang Islam. Terdapat banyak contoh kes yang telah diputuskan oleh Baginda Rasulullah s.a.w. dalam pelbagai aspek. Antaranya yang berhubung dengan harta pusaka, nikah, cerai, khuluk, rujuk, nafkah, penjagaan anak, hudud dan qisas. Namun, Rasulullah s.a.w. memutuskan kes dan mengadakan perbicaraan tidaklah di dalam sebuah bangunan yang khusus, kerana keadaan pada masa itu tidak memerlukan,namun ini tidaklah bermakna bahawa prinsip mewujudkan mahkamah di dalam bangunan yang khusus tidak diperlukan. Sebagai contoh ada kalanya Rasulullah s.a.w. mengadakan perbicaraan di masjid seperti yang terjadi dalam kes Safuan bin Ummayyah yeang telah menjadi mangsa kecurian.

Selepas kewafatan Baginda Rasulullah s.a.w. pada tahun 11 Hijrah bersamaan tahun 632 Masihi, maka berakhirlah zaman baginda Rasulullah s.a.w. dan bermulalah zaman Khulafa Al-Rasyidin iaitu zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali. Kesibukan sebagai khalifah telah mendorong Saidina Abu Bakar  melantik Sidina Umar al-Khatab menjadi kadi di Madinah pada zaman pemerintahan beliau. Walaupun Khalifah Abu Bakar telah melanitk Umar menjadi kadi, namun beliau sendiri masih juga memegang jawatan ketua hakim disamping menjadi ketua pentadbir dan kerajaan. Disamping bertugas sebagai hakim, Khalifah Abu Bakar juga menggubal undang-undang yang tidak bercanggah dengan wahyu ini kerana beliau seorang mujtahid yang berwibawa dan berkemampuan untuk berijtihad dan menerangkan kehendak wahyu. Pada zaman tersebut masih belum terdapat bangunan khas yang berfungsi sebagai mahkamah. Selepas wafatnya Saidina Abu Bakar, jawatan khalifah telah disandang oleh Saidina Umar Al- Khattab. Khailfah Umar telah memperkenalkan pemisahan kuasa antara pentadbir dan kehakiman yang tidak dilakukan pada zaman sebelum itu. Sistem pemisahan kuasa ini demi menjamin pentadbiran kehakiman utuh dan berwibawa di samping menjauhkan tohmah dan melicinkan pentadbirannya. Pada zaman Khalifah Umar juga bangunan khusus untuk dijadikan mahkamah sebagai tempat perbicaraan belum diadakan kerana keperluannya belum timbul. Perbicaraan masih dijalankan di masjid atau di rumah para hakim.

Saidina Uthman bin Affan telah dilantik menjadi khalifah ketiga setelah Khalifah Umar dibunuh oleh Abu Lukluah pada 23 Hijrah bersamaan 64 Masihi. Kaedah pengadilan Khalifah Uthman sama seperti kaedah yang digunakan khalifah terdahulu iaitu dengan merujuk kepada al-Quran, al-Sunnah, hukuman yang telah dijatuhkan leh khalifah terdahulu dan akhirnya beliau  akan merujuk kepada sahabat-sahabat yang ada dengan mengadakan perbincangan dan musyawarah dengan mereka. Khalifah Uthman menjadi ketua institusi kehakiman dan rujukan terakhir dalam pentadbiran undang-undang dan kehakiman. Khalifah Uthman telah mewujudkan bangunan khas untuk dijadikan mahkamah bagi membicarakan kes dan merupakan pemimpin pertama di awal perkembangan Islam yang melakukan perubahan tersebut. Selepas kewafatan Saidina Uthman yang dibunuh oleh pihak pemberontak beliau diganti oleh Khalifah Ali. Perlantikan Saidina Ali sebagai khalifah wajar kerana beliau berpengaruh di samping seorang yang teralim dikalangan sahabat. Di bidang kehakiman pula, Khalifah Ali merupakan seorang yang berpengalaman. Beliau pernah menjawat jawatan hakim di Yaman pada hayat Baginda Rasulullah s.a.w. sedang pada masa itu beliau masih muda.Beliau juga merupakan ketua institusi kehakiman dan rujukan terakhir dalam pentadbiran undang-undang dan kehakiman. Pada zaman ini, kedudukan hakim telah diutamakan dari segi pemilihan yang ketat, diberi ganjaran yang sesuai dan kedudukan taraf dan kehormatan yang perlu dijaga.  Khalifah Ali juga meneruskan kesimbungan Saidina Umar dengan mengadakan bangunan khas yang berfungsi sebagai institusi kehakiman.

  Sistem kehakiman pada zaman pemerintahan Bani Ummaiyyah pula bermula pada tahun 41 hingga 132 Hijrah. Ini adalah kesinambungan daripada sistem kehakiman yang wujud pada zaman pemerintahan Khulafa al-Rasyidin. Pada zaman ini diperkenalkan catatan hukuman agar dapat dipastikan yang ia tepat dan tidak dipertikaikan. Orang yang mula-mula mencatatkan hukuman ini ialah Kadi Salim bin Atar, kadi di Mesir. Beliau telah memutuskan suatu kes tentang harta, tetapi pihak berkenaan telah mempertikaikan tentang keputusan tersebut.  Mahkamah madzalim turut berfungsi dengan lebih berkesan, yang mempunyai bidang kuasa istimewa. Ia diketuai oleh khalifah untuk  memastikan undang-undang dihormati dan keadilan ditegakkan. Sebagai contoh Khalifah Abdul Aziz telah menggunakan mahkamah ini untuk mengembalikan hak orang yanag telah dizalimi oleh keluarga Bani Ummaiyyah yang Mahkamah Kadi telah gagal melakukannya.

Selepas kejatuhan kerajaan Bani Ummaiyyah, bermulalah era pemerintahan Bani Abbasiyyah pada tahun 132 Hijrah hingga 650 Hijrah.  Pada ketika ini kehakiman Islam merupakan sebuah institusi penting dalam mentadbir keadilan dan undang-undang telah menrima pengaruh yang baik dan menggalakkan. Ijtihad telah memainkan peranan penting dalam institusi kehakiman pada zaman pertama pemerintahan Bani Abbasiyyah ini.  Walaupun institusi kehakiman pada zaman ini terpisah daripada institusi khalifah dan pentadbiran, pemisahan kuasa ini semakin jelas dengan perlantikan jawatan kadi al-qudah. Kadi pada zaman ini telah memakai pakaian khas yang merupakan pakaian rasmi mereka untuk membezakan mereka daripada ulama dan orang ramai. Mereka juga mempunyai mohor yang khusus digunakan salam surat menyurat di samping mempunyai kerani yang bertugas mencatat dan menulis seperti seperti yang diarahkan oleh kadi dan pengawal yang sentiasa berkawal dan berwaspada. Di mahkamah, kadi mempunyai pegawai yang cukup untuk membantunya seperti pencatat perbicaraan, penjaga pintu mahkamah, pegawai yang bertugas membawa masuk, keluar dan mengawal orang yang dituduh agar tidak lari. Perbicaraan tidak lagi diadakan di masjid tetapi di kawasan atau bangunan yang luas dan lapang dan dapatlah orang yang menghadiri perbicaraan duduk dengan selesa.

Walaupun kerajaan Bani Abbasiyyah telah berakhir pada tahun 560 Hijrah, namun system kehakimannya yang dibina berdasarkan pentadbiran kehakiman pada zaman sebelumnya terus diwarisi dan diamalkan oleh negara-negara Islam kemudiannya. Namun apabila negara-negara Islam mula lemah, maka kedudukan mahkamah dan hakimnya turut lemah dan undang-undang Islam mula dipinggirkan. Bidangkuasa mahkamah Islam yang mentadbir undang-undang Islam menjadi kecil akibat kelemahan negara-negara Islam sendiri. Kedatangan penjajah barat telah banyak mempengaruhi strukri kehakiman sesebuah negara terutamanya melemahkan kedudukan Mahkamah Syariah. Sebagai contoh, negara Mesir di bawah naungan Khalifah Usmaniyyan pada tahun 1876 Masihi telah mempunyai lima badan kehakiman yang mana pada asalnya hanya terdapat satu sahaja untuk mentadbir undang-undang yang berbeza iaitu:

  1. Mahkamah Syariah, mentadbir dan melaksanakan hukun yang bersumberkan fiqh Islam.
  2. Mahkamah Nizamiyyah, yang mula didirikan pada tahun 1875 Masihi. Mahkamah ini mentadbir dan melaksanakan undang-undang yang berasal daripada undang-undang asing.
  3. Mahkamah Ahliyyah, yang melaksanakan dan mentadbir undang-undang yang diambil daripada undang-undang Perancis dan dipinda mengikut undang-undang Itali.
  4. Mahkamah Milli ( Agama) yang mengendalikan kes untuk orang Mesir yang bukan beragama Islam

 

2.2       Zaman Kesultanan Melayu Lama

 

            Zaman Kesultanan Melayu mempunyai hubungan yang rapat dengan pelaksanaan undang-undang Islam dan penubuhan Mahkamah Syariah dan  di Malaysia. Ini kerana pada zaman tersebut bermulanya proses Islamisasi dengan kedatangan Islam ke Asia Tenggara. Mengikut laporan daripada tulisan orang Cina dan penemuan kesan sejarah, kedatang Islam ke Asia Tenggara bermula  pada aabd pertama Hijrah apabila orang-orang Arab Islam membuat penempatan di timur Sumatera ( San-Fu_Chi, Seriwijaya dan Palembang) kira-kira tahun 55 Hijrah bersamaam 674 Masihi. Sebilangan pengkaji pula membuat rumusan bahawa agama Islam dibawa oleh saudagar-saudagar Arab dan India ke Tanah Melayu seawal kurun ke-8. Di antara kurun ke- 12 dan ke-15 agama Islam sudah menapak dan terbentuk di Tanah Melayu.  Proses Islamisasi di Nusantara boleh dibahagikan kepada tiga fasa. Fasa pertama dinamakan sebagai fasa penyesuaian atau perubahan yang bermula sekitar tahun 1200-1400. Fasa kedua juga dinamakan sebagai penyesuaian dari segi spirit atau jiwa yang membawa kepada ilmu tasawuf, mistik dan juga kalam ( 1400-1700). Akhir sekali fasa ketiga yang melihat kesinambungan antara fasa pertama dan kedua dan pada masa yang sama kedatangan orang-orang barat ke Asia Tenggara.

            Menurut Profesor Syed Muhammad Naquib, Islam mula diterima di Melaka kira-kira pada tahun 812 Hijrah bersamaan 1409 Masihi. Melaka merupakan institusi kesultanan Melayu Islam pertama di Semenanjung Malaysia. Parameswara memeluk Islam dan telah menukar namanya kepada Sultan Iskandar Shah. Baginda diislamkan oleh pendakwah dari Jeddah bernama Sayyid Abd Aziz. Islam bertapak kuat pada zaman Sultan Mansor Shah di Melaka pada tahun 1459-1477 Masihi. Malah zaman itu digelar zaman kegemilangan Islam di Tanah Melayu dan pada masa yang sama berlaku keruntuhan kerajaan Hindu di Jawa. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka Islam berada di puncak kegemilangan yang melihat faktor agama membawa kepada kedatangan pedagang Arab dan India untuk membuat urusan perdagangan di Melaka. Dari segi perundangan juga Undang-undang Islam adalah undang-undang yang terpakai pada zaman itu. Mazhab Syafi’I pula amat berpengaruh sehinggalah  ia menjadi mazhab rasmi kerajaan Islam di rantau ini sejak beratus-ratus tahun yang lalu. Undang-undang Islam berdasarkan pendapat mazhab ini juga telah dikanunkan, ia menjadi undang-undang negara dan dilaksanakan. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka Islam berada di puncak kegemilangan yang melihat faktor agama membawa kepada kedatangan pedagang Arab dan India untuk membuat urusan perdagangan di Melaka. Dari segi perundangan juga Undang-undang Islam adalah undang-undang yang terpakai pada zaman itu. Pada masa pemerintahan Sultan Muhammad Shah ( 1422 M -1444 M) usaha telah dimulakan untuk mengkanunkan undang-undang ini. Semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah ( 1445 M- 1450 M). Ia Berjaya disempurnakan dan seterusnya dilaksanakan.

Teks Hukum Kanun Melaka yang diselenggarakan oleh Dr. Ph.S. Ronkel mengandungi 27 fasal, manakala Kitab Undang-undang Melaka dari Mizium British mengandungi 44 fasal dan Undang-undang Melaka  yang diselenggara oleh Liaw Yock Fang mengandungi 44 fasal. Teks ini telah dikaji dan diteliti dan kesimpulannya Undang-undang Kanun Melaka ini pada keseluruhannya berdasarkan undang-undang Islam menurut mazhab Syafi’i. Walaubagaimanapun tidak dinafikan bahawa terdapat juga unsur-unsur adat Melayu. Walaupun peruntukan dalam Kanun Melaka ini terhad tetapi ia meliputi bidang yang luas termasuk jenayah, mua’malah, keluarga, acara, keterangan, adab al-kadi dan undang-undang  pentadbiran dan pemerintahan. Hukuman keseksaan terhadap orang-orang yang dibuktikan melakukan kesalahan adalah dalam bentuk hudud, qisas, diat dan ta’zir. Antara bukti mazhab Syafi’I dijadikan asas kepada kanun ini ialah Undang-undang Kanun Melaka telah memperuntukkan hukuman qisas dalam fasal 5(1), 5(3), 8(2), 8(3) dan 39. Fasal –fasal ini antaranya mengenai pembunuhan yang sengaja dilakukan oleh orang Islam ke atas ornaf kafir, orang merdeka ke atas hamba dan bapa ke atas anaknya idmana hukuman qisas tidak dijatuhkan terhadap pesalah tersebut. Terdapat banyak lagi peruntukan dalam Undang-undang Kanun Melaka yang selaras dengan pandangan mazhab Syafi’i seperti hukuman hudud, hukuman mati terhadap murtad, hukuman sebat ke atas peminum arak, bab jual beli, tentang perkahwinan dan sebagainya.

            Selain Melaka,terdapat beberapa buah negeri yang melaksanakan undang-undang Islam yang dipengaruhi oleh Undang-undang Melaka sama ada secara langsung atau tidak langsung seperti Hukum Kanun Pahang yang ditulis pada masa pemerintahan Sultan Abdul Ghafur al- Muhaiyudin ( 1592-1614) yang mengandungi 93 fasal, Undang-undang 99 Perak, Undang-undang Pahang, Undang-undang Sungai Ujong dan sebagainya. Berikut merupakan beberapa carta sistem kehakiman dan pentadbiran Islam semasa Kesultanan Melayu Melaka.

Rajah 1: Sistem Pentadbiran dan Kehakiman Islam

Kesultanan Melayu Melaka ( 1400-1511) sebelum kedatangan penjajah

 

            Rajah 1 menunjukkan bahawa Sultan adalah legislatif, eksekutif dan mahkamah. Kedudukan ini adalah sama dengan pemerintahan secara monarki yang diasaskan oleh Kerajaan Bani Ummayyah dahulu. Mahkamah Balai adalah Mahkamah Syariah yang berasaskan kepada Hukum Kanun Melaka dan juga undang-undang lain yang berkaitan. Oleh yang demikian jelaslah bahawa penubuhan Mahkamah Syariah di Malaysia sudah lama bertapak sebelum kedatang penjajah-penjajah ke negara ini. Selepas kedatangan Portugis dan Belanda corak pentadbiran dan kehakiman masih kekal seperti zaman Kesultnanan Melaka. Carta berikutnya menunjukkan struktur Mahkamah Kesultnan Melayu Lama di Malaysia.

Rajah 2 : Sistem Pentadbiran dan Kehakiman  Kesultanan Melayu Lama

di Malaysia ( 1511-1800)

 

Rajah 2 menjelaskan bahawa corak pentadbiran dan kehakiman yang diamalkan semasazaman kesultanan Melayu Lama di Malaysia adalah serupa dengan zaman Kesultanan Melayu Melaka. Tiada perubahan drastik terhadap system kehakiman Islam dan kedudukan agama Islam selepas penjajahan Portugis dan Belanda di Tanah Melayu. Malah boleh dikatakan b ahawa pada zaman itu telah mencapai tahap kematangan sebelum kedatangan British dengan mempunyai system kehakiman yang lengkap dan padat serta bercirikan pola-pola pentadbiran di Timur Tengah. Mahkamah Balai diatas bermaksud tempat perbicaraan dan merupakan mahkamah tertinggi sebelum rayuan dibuat kepada Sultan.

3.0       PERKEMBANGAN MAHKAMAH SYARIAH SEBELUM DAN SELEPAS KEMERDEKAAN

3.1       Sebelum Kemerdekaan

            Corak landskap perundangan Islam dan Mahkamah Syariah di negara ini banyak dipengaruhi dan berubah selepas kedatangan British.  Campur tangan tidak rasmi British di Tanah Melayu bermula pada tahun 1786 oleh Sir Francais Light  di Pulau Pinang dan di Singapura oleh Sir Stamford Raffles pada tahun 1824. Kemasukan British pada waktu itu bertujuan untuk memonopoli perdagangan dan bersaing dengan Belanda yang menjajah Indonesia. Campur tangan British secara rasminya adalah pada 20 Januari 1874 apabila Perjanjian Pangkor dimeterai antara British dengan negeri Perak.  Pada masa yang sama Sultan Perak yang baru dilantik itu bersetuju untuk menerima Residen British sebagai penasihat dalam semua hal ehwal negeri kecuali hal-hal yang berkaitan dengan adat istiadat dan agama Islam. Perjanjian yang serupa juga telah ditandatangani oleh pemimpin Melayu di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Kesannya, pada akhir  abad ke-19, kesemua negeri di Tanah   Inggeris ini. Kesan penerimaan penasihat Inggeris di negeri-negeri Melayu ini menyebabkan pelaksanaan undang-undang Islam yang berjalan sekian lama terhakis dengan cara British memperkenalkan undang-undang Inggeris bagi menggantikan undang-undang Islam.

 M.B. Hooker menyatakan  tujuan sebenar British memperkenalkan Undang-undang Sivil di tanah Melayu dan sekali gus mengurangkan status undang-undang Islam bukan disebabkan undang-undang Islam tidak bertamadun atau pun Undang-undang Islam bukanya tidak sistematik, tetapi lebih kepada faktor-faktor ekonomi. Mereka juga berpendapat bahawa agama Islam merupakan faktor penghalang ke atas misi mereka untuk memajukan Tanah Melayu. Carta dibawah menjelaskan bagaimana corak sistem kehakiman di zaman Kesultanan Melayu selepas kedatangan British:

Rajah 3 : Sistem Kehakiman pada zaman Kesultanan Melayu pada zaman pertengahan penjajahan British di Malaysia ( 1800-1900)

Carta 3 diatas menunjukkan kedudukan system kehakiman Islam pada aman pertengahan pemerintahan British di Tanah Melayu. Sultan masih lagi ditampuk pemerintahan selaku pemerintah dan ketua agama Islam negeri. Walau bagaimanapun, Mahkamah Balai yang diwujudkan sejak zaman Kesultanan Melayu Lama dihapuskan pada tahun 1920-an. Manakala mufti dikira sebagai penasihat kepada Sultan dalam hal-hal mengenai agama Islam. Mahkamah pada zaman itu dibahagai kepada dua iaitu Mahkamah Syariah yang diketuai oleh kadi dan Mahkamah Adat yang diketuai oleh hakim. Carta tersebut juga menjelaskan bahawa undang-undang Adat adalah salah satu sumber perundangan selain undang-undang Islam.

Pada 1 Februari 1948 Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan yang terdiri daripada negeri Perlis, Perak, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Pada tahun itu juga Courts Ordinance 1948  ditubuhkan dan Syariah Court dimasukkan dalam struktur mahkamah peringkat kebangsaan bersama-sama dengan Mahkamah penghulu. Selepas Courts Ordinance 1948 dimansuhkan dan di ganti dengan Akta Mahkamah rendah 1948, Mahkamah Syariah telah diturunkan statusnya daripada peringkat kebangsaan ke peringkat negeri.

Rajah 4 : Hierarki Mahkamah di Malaysia sebelum tahun 1948


C
arta 4 diatas menunjukkan bahawa sebelum tahun 1948, kedudukan Mahkamah Kathi ( Mahkamah Syariah) adalah bersama-sama mahkamah-mahkamah lain yang ditubuhkan ketika itu. Walaupun kedudukannya berada di tahap paling bawah namun sekurang-kurangnya ia berada dalam  hierarki mahkamah persekutuan.

Rajah 5 : Hierarki Mahkamah di Malaysia selepas tahun 1948

Carta berikutnya  pula menunjukkan pemisahan Mahkamah Syariah dari hierarki Mahkamah Persekutuan di Malaysia selepas Courts Ordinance 1948 berkuatkuasa. Mahkamah Syariah diletakkan di bawah bidangkuasa negeri –negeri. Sekaligus menjadikan Mahkamah Syariah dibawah pentadbiran Sultan atau Raja-raja disetiap negeri. Pengasingan in menggambarkan bahawa pihak British secara halus telah menurunkan tahap dan kedudukan undang-undang Islam sebagai undang-undang utama sebelum ini.

Sebelum negara mencapai kemerdekaan terdapat beberapa enakmen yang berkaitan dengan perundangan Islam seperti tentang perkahwinan dan beberapa kesalahan syariah. Apa yang dilihat menunjukkan bahawa Inggeris walaupun dalam pelbagai teriti dengan Raja-raja Melayu menyatakan dengan jelas bahawa Raja-raja Melayu bersetuju menerima semua nasihat Inggeris kecuali dalam hal ehwal mengenai agama Islam dan adat istiadat Melayu. Bagaimanapun, secara langsung atau tidak langsung Inggeris telah banyak campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran agama Islam. Akibatnya hukum syarak hanyalah terpakai dalam undang-undang keluarga, perwarisan dan beberapa aspek jenayah syariah. Beberapa undang-undang yang dipakai di India telah diterima pakai. Bahkan apabila Inggeris menduduki Pulau Pinang mereka telah memberi gambaran salah tentang fakta. Sir Benson Maxwell menjelaskan kedudukan Pulau Pinang sehingga pengistiharan Piagam Keadilan 1807 dalam kes Regina lwn Willans menyatakan :

“It is clear beyond all doubt not for the first twenty years and upwards of its history, no body of known law was in fact recognized as the law of the place”

Begitu juga dengan pentadbiran hukum syarak pada permulaannya jawatan naib kadi dan kadi telah diiktiraf dengan menubuhkan Mahkamah Kadi dan Mahkamah Naib Kadi di negeri-negeri Melayu dalam struktur Mahkamah Awam. Kedudukannya lebih rendah dari Mahkamah Majistret, walaupun berada dalam struktur mahkamah yang sama. Akhirnya apabila diadakan Ordinan Mahkamah 1948 bagi menubuhkan sistem kehakiman bagi Persekutuan, Mahkamah Naib Kadi dan Mahkamah Kadi telah diabaikan dengan mengeluarkannya daripada hierarki Mahkamah Persekutuan dan hari ini dikenali dengan Mahkamah Syariah dan mempunyai status mahkamah negeri dengan bidang kuasa amat rendah dan terbatas.

Beberapa tahun sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 ada dua peristiwa penting yang berlaku iaitu penubuhan Suruhanjaya Reid untuk menderaf Perlembagaan Persekutuan dan kedua pengkanunan Undang-undang Pentadbiran Hukum Syarak 1952 bagi negeri Selangor. Enakmen ini telah menjadi model bagi pentadbiran perundangan Islam di negara ini. Akhirnya setiap negeri telah mengadakan enakmen Pentadbiran Hukum Syarak masing-masing. Enakmen ini mempunyai 180 seksyen dan kandungannya menyentuh penubuhan Majlis Agama Islam, perlantikan Mufti dan Jawatankuasa Fatwa, undang-undang Islam berkaitan dengan perkahwinan dan perceraian, nafkah, penjagaan anak, keterangan, prosedur jenayah dan sivil, perwarisan, pembahagian harta sepencarian, wakaf dan nazar, zakat dan fitrah dan Baitulmal, pengurusan masjid, pemelukan agama Islam, wasiat dan beberapa kesalahan matrimoni dan kesalahan yang boleh dihukum ta’zir. Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak 1952 ini ada membuat peruntukan bagi penubuhan Mahkamah Kadi dan Kadi Besar dan bidang kuasanya. Rayuan dibuat ke Jawatankuasa Ulangbicara.

3.2       Selepas Kemerdekaan

Malaysia telah mendapat kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957. Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah ugama bagi Persekutuan,  tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Walaupun peruntukan ini secara tidak langsung seperti mengiktiraf undang-undang Islam sebagai undangundang yang meliputi semua aspek kehidupan, namun demikian pada hakikatnya peruntukan mengenai undang-undang Islam di Malaysia hanya berkaitan mengenai keluarga, warisan dan terhad kepada orang-orang Islam. Begitu juga dengan undang-undang keterangan Islam, pemakaian undang- undang keterangan Islam ini hanya berlaku dalam kes tertentu malahan ianya tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.

 

Selepas negara mencapai kemerdekaan, Mahkamah syariah ialah mahkamah yang membicarakan kes yang berkaitan dengan orang Islam, yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, yang berkaitan dengan agama Islam sebagaimana yang terdapat dalam Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, perlembagaan. Sebelum kedatangan penjajah, kerajaan negeri-negeri Melayu terutamanya Melaka meletakkan kuasa mahkamah berasaskan undang-undang Islam dengan menjadikan sultan sebagai tribunal rayuan tertinggi. Selepas penjajahan, British telah mewujudkan mahkamah sivil yang berasaskan undang-undang Inggeris dengan bidang kuasa yang luas. Mahkamah syariah pula diletakkan di tempat yang rendah dan mempunyai bidang kuasa yang terhad. Selepas mencapai kemerdekaan, perlembagaan mengekalkan keadaan tersebut, dan masih meletakkan bidang kuasa mahkamah syariah di bawah kerajaan negeri. Mahkamah syariah hanya diberi kuasa untuk membicarakan perkara yang terdapat dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan, iaitu bagi perkara yang meliputi undang-undang keluarga, zakat, wakaf, dan kesalahan berkaitan rukun Islam sahaja. Mahkamah syariah juga hanya boleh membicarakan penganut agama Islam sahaja. Mahkamah syariah telah ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam di Negeri-negeri, selaras dengan butiran 1, Senarai II, Jadual Kesembilan Perlembagaan. Penubuhannya juga disertai dengan bidang kuasa eksklusif yang tersendiri, yang melibatkan kes mal dan jenayah setakat yang diperuntukkan dalam perlembagaan bagi orang-orang yang beragama Islam. Dalam melaksanakan bidang kuasa jenayahnya, mahkamah syariah hanya mempunyai bidang kuasa terhad, untuk mendengar dan memutuskan kes jenayah syariah yang melibatkan kesalahan yang boleh dihukum penjara tiga tahun, denda tidak melebihi RM5000, tidak melebihi enam sebatan atau gabungan mana-mana hukuman tersebut.19 Mahkamah syariah diletakkan di bawah bidang kuasa mahkamah sivil. Apa-apa keputusan mahkamah syariah boleh diubah atau dipinda oleh mahkamah sivil.

 

Terdapat beberapa institusi yang terlibat dalam perlaksanaan perundangan Islam iaitu Majlis Agama Islam, Jabatan Agama Islam, Mufti, dan Mahkamah Syariah. Struktur institusi-instusi ini telah mengalami perubahan selaras dengan peredaran zaman. Berikut merupakan kedudukan institusi-institusi ini selepas kemerdekaan dan sebelum 1990-an.

Rajah 6 : Sistem Perundangan Islam sebelum 1990-an

Rajah 7 : Sistem Perundangan Islam pada 1990-anRajah 6 diatas menunjukkan selepas negara mencapai kemerdakaan, Mahkamah Syariah masih kekal diletakkan di bawah pentadbiran sultan atau ketua agama negeri-negeri sehinggalah diakhir era 80-an. . Kesemua institusi ini diletakkan di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Negeri. Ketika ini Mahkamah Syariah masih dikenali sebagai Mahkamah Kadi dan terbahagi kepada tiga  bahagian iaitu Jawatankuasa Ulang Bicara, Mahkamah Kadi Besar dan Mahkamah Kadi Daerah. Pada ketika itu juga seseorang yang memegang jawatan sebagai Mufti merupakan Ketua Hakim Syarie yang mentadbir Mahkamah Kadi.

Rajah diatas menunjukkan bahawa terdapat beberapa perubahan yang berlaku terhadap insitusi-institusi agama pada era 1990-an. Perubahan ini berlaku rentetan daripada penggubalan undang-undang baru seperti Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 1990, Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Wilayah-wilayah Persekutuan 1993 dan di negeri-negeri lain. Ketika ini nama Mahkamah Kadi telah ditukar kepada Mahkamah Syariah dan diletakkan di bawah pentadbiran sendiri yang diberi nama Jabatan Kehakiman Syariah. Hakim-hakim Mahkamah Syariah juga telah dilantik oleh institusi khas ini sendiri selain jawatan Mufti dan  jawatan Ketua Hakim Syarie dipisahkan.

 

Pindaan kepada Perkara 121 dan Perkara 5 Perlembagaan pada tahun 1988 dilihat memberikan nafas baharu khususnya kepada bidang kuasa mahkamah syariah. Perkara 121 fasal (1) menyatakan bahawa terdapat dua mahkamah tinggi yang mempunyai bidang kuasa yang selaras dan setaraf. Fasal (IA) telah ditambah kepada Perkara 121 dengan memperuntukkan bahawa;

“Mahkamah mahkamah yang disebutkan dalam fasal (1) tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah syariah”.

Kesan pindaan tersebut telah mengeluarkan atau mengasingkan mahkamah syariah daripada berada di bawah mahkamah sivil. Apa-apa jua yang berada dalam bidang kuasa mahkamah syariah, mahkamah tinggi (sivil) tidak boleh campur tangan. Pindaan kepada Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan memberikan pengiktirafan yang lebih tinggi kepada mahkamah syariah, apabila satu proviso baru telah dimasukkan ke dalam fasal (4) Perkara 5 untuk mahkamah syariah iaitu;

“Dan dengan syarat selanjutnya bahawa dalam hal penangkapan bagi sesuatu kesalahan yang boleh dibicarakan oleh Mahkamah Syariah, sebutan-sebutan dalam fasal ini mengenai seorang Majistret hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk sebutan-sebutan mengenai seorang hakim Mahkamah Syariah.”

Dengan pindaan ini, seseorang yang melakukan kesalahan yang boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah akan mendapat hak-hak yang sama yang diberikan kepadanya sekiranya beliau dibicarakan di Mahkamah Majistret. Kesannya ialah jika beliau ditahan untuk tujuan ini, beliau hendaklah dibawa ke hadapan hakim mahkamah syariah dalam masa 24 jam daripada masa ditangkap tanpa kelengahan yang tidak munasabah. Jika ingin ditahan lebih anjut lagi, kebenaran hakim mahkamah syariah hendaklah dipohon. Pindaan Perkara 5 menjadikan kuasa hakim mahkamah syariah setaraf dengan kuasa seorang majistret.

Mahkamah Syariah boleh dikatakan telah dibebaskan daripada gangguan Mahkamah Sivil. Pada hakikatnya taraf Mahkamah Syariah boleh dianggap masih rendah dan Mahkamah Sivil masih menerima kes-kes yang bidang kuasa sememangnya terletak pada Mahkamah Syariah seperti dalam kes Dalip Kaur lwn Pegawai Polis Daerah, Balai Polis Daerah Bukit Mertajam. Dalam kes tersebut mahkamah memutuskan bahawa Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa selagi tiada undang-undang negeri yang memberi bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah. Bagi mengatasi masalah percanggahan bidang kuasa antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Tinggi, Prof Ahmad Ibrahim berpendapat masih ada terdapat undang-undang bertulis yang lama yang perlu dipinda untuk mengelakkan apa-apa keraguan.

Rajah 7 : Sistem kehakiman di Malaysia pada masa kini

Rajah 7 diatas menjelaskan bahawa Sistem Kehakiman yang diamalkan di Malaysia kini terbahagi kepada dua iaitu Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil. Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidangkuasa tertentu dan hanya tertakluk kepada orang Islam sahaja. Manakala bidangkuasa Mahkamah Sivil adalah lebih luas dan ianya berbidangkuasa terhadap Orang Islam dan Orang Bukan Islam. Selain kedua-dua sistem ini diperuntukkan pada perundangan yang berbeza, lokasi dan insfratruktur juga adalah berlainan. Dari aspek lain, Mahkamah Sivil mempunyai lima peringkat mahkamah manakala Mahkamah Syariah hanya mempunyai tiga peringkat mahkamah, ini bermakna Mahkamah Sivil mempunyai empat lapisan mahkamah untuk merayu manakala Mahkamah Syariah hanya mempunyai dua lapisan mahkamah bagi membuat rayuan.

4.0       LANGKAH-LANGKAH YANG DIAMBIL JKSM DALAM MEMARTABATKAN MAHKAMAH  SYARIAH  SELARAS DENGAN MAHKAMAH SIVIL

Di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) terdapat sebuah jabatan yang menguruskan hal ehwal perundangan dan kehakiman syariah di negara ini yang dikenali sebagai Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang beribu pejabat di Putrajaya. Jabatan ini ditubuhkan pada tahun 1998 dan bertanggungjawab menyelaras aspek-aspek perundangan dan pentadbiran Mahkamah Syariah di seluruh Malaysia. Disebabkan hal ehwal agama Islam dan perundangan Islam diletakkan di bawah bidangkuasa negeri, terdapat dua jenis penerimaan setiap negeri terhadap struktur kerja.  Negeri-negeri gunasama ialah negeri-negeri yang bernaung di bawah JKSM dan dari sudut perlantikan kakitangan adalah melalui JKSM dan juga melalui negeri-negeri. Negeri-negeri yang bernaung di bawah skim guna sama seperti ialah  Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Wilayah-wilayah Persekutuan, Perlis dan Sabah. Selain dari negeri-negeri tersebut masih belum mengganggotai skim guna sama di mana perlantikan hampir kesemua jawatan adalah melalui Setiausaha Kerajaan Negeri  masing-masing. Sungguhpun begitu disetiap negeri tersebut ditubuhkan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri seperti Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor dan Perak.

Visi JKSM ialah meningkatkan institusi kehakiman syariah dalam sistem kehakiman dan perundangan negara disamping meningkatkan kecekapan dan keseragaman dalam sistem pentadbiran kehakiman syariah seluruh Malaysia sebagai misi utama. Antara objektif JKSM ialah untuk menggubal dasar dan strategi untuk mempertingkatkan prestasi Mahkamah Syariah negeri-negeri, menyelaras prosuder kehakiman untuk diterima pakai di negeri-negeri, membina dan menyelaras kaedah-kaedah dah Arahan Amalan serta peraturan kepada semua pegawai syariah di JKSM, negeri-negeri dan lain-lain agensi berkaitan dan melaksanakan penyelidikan berkaitan system perundangan dan kehakiman Syariah sesuai dengan perekembangan semasa.Dengan erti kata lain, JKSM adalah satu badan penting dalam menyusun strategi agar pentadbiran Mahkamah Syariah menjadi lebih teratur, cekap dan professional.

Disebabkan penyusunan Mahkamah Syariah baru bermula pada awal 1990-an, Mahkamah Syariah telah terkebelakang dari pelbagai aspeks berbanding Mahkamah Sivil seperti insfratruktur, bilangan kakitangan, gaji pegawai dan sebagainya. Sejak tertubuhnya JKSM pada tahun 1998, JKSM telah giat mencari dan mencadangkan pelbagai langkah bagi memartabatkan Mahkamah Syariah selaras dengan Mahkamah Sivil. Bermula dari  syarat pengambilan pegawai untuk skim Pegawai Syariah LS41, JKSM telah mewajibkan calon-calon yang ingin memohon jawatan tersebut untuk memiliki Pentadbiran Undang-undang dan Kehakiman (DAIJJ) yang ditawarkan di mana-mana universiti yang diiktiraf selain calon-calon wajib memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang atau Ijazah Sarjana Muda Syariah. Syarat ini adalah untuk memastikan pegawai-pegawai yang berkhidmat di bawah  JKSM adalah mereka yang berpengetahuan dalam konteks perundangan Islam di negara ini. Dari sudut gaji, Pegawai Syariah gred LS 41 dan keatas juga telah menerima gaji yang sama dengan Pegawai Undang-undang gred L 41 dan  keatas selepas beberapa tahun penubuhan JKSM .  Ini kerana sebelum itu terdapat perbezaan gaji permulaan yang diterima bagi kedua-dua jawatan tersebut.  JKSM juga sentiasa berusaha kearah memperkasakan sumber manusia dengan penambahan kakitangan, mewujudkan perjawatan baru dan menaiktaraf perjawatan ke gred yang lebih tinggi sebagaimana yang dinikmati oleh Mahkamah Sivil. Hasilnya, jawatan Pegawai Sulh diperkenalkan di setiap Mahkamah Syariah negeri-negeri pada tahun 2002 dan mewujudkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di setiap negeri bermula tahun 2009. Selain itu beberapa jawatan telah ditambahbaik dari segi gred jawatan seperti jawatan hakim-hakim dan Ketua Hakim Syarie setiap negeri.

Kakitangan JKSM samaada yang berkhidmat di ibu pejabat dan di negeri-negeri juga sentiasa diberi latihan dengan penganjuran kursus-kursus, seminar-seminar bagi memantapkan pengetahuan dan kemahiran samada dari sudut perundangan, teknologi maklumat (ICT) dan sebagainya. Bagi merealisasikan hasrat tersebut,  JKSM telah menubuhkan Unit Latihan iaitu unit khas yang bertanggungjawab mengurus dan menyelia latihan kepada kakitangan dan pegawai  dari semua gred dan untuk semua perjawatan yang berbeza. Diantara latihan yang dianjurkan setiap tahun seperti kursus melibatkan pentadbiran dokumentasi, rekod, teknlogi maklumat, kemahiran sulh, kemahiran kehakiman, kemahiran guaman dan sebagainya. JKSM juga telah mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk  mendirikan suatu tempat dan bangunan khas sebagai pusat latihan untuk kakitangan dan pegawai. Setiap tahun tidak kurang dari tiga puluh kursus dianjurkan JKSM yang melibatkan pelbagai skim jawatan.

Bagi menjamin keselesaan dan memudahkan urusan pelanggan-pelanggan di Mahkamah Syariah menerima kemudahan seperti di Mahkamah Sivil, JKSM telah memperjuangkan pembinaan bangunan Mahkamah Syariah disetiap negeri dan daerah melalui peruntukan kerajaan persekutuan. Diantara negeri yang telah menerima bangunan baharu adalah Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor di Shah Alam, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan di Sendayan, Jabatan Kehakiman Syariah Melaka di MITC Melaka dan Jabatan Kehakiman Syariah Kota Baharu. Bangunan atau kompleks baharu ini telah menyediakan kemudahan insfratruktur yang lebih banyak dan selesa seperti bilangan dewan perbicaraan yang lebih besar dan banyak, kaunter pendaftaran yang luas, parkir kenderaan yang banyak, Bilik Peguam Syarie, Bilik Pendakwa Syarie,  perpustakaan, Bilik Hadhanah, akses keselamatan dan lain-lain. Dengan terbinanya bangunan dan  kemudahan yang lebih baik, JKSM berharap supaya kes-kes tertunggak dapat diselesaikan segera. Bagi memantapkan pengurusan, JKSM bakal  menerima bangunan khas di Putrajaya tidak lama lagi dimana sebelum ini ibu pejabat JKSM adalah berkongsi bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JKSM). JKSM dijangka berpindah ke bangunan baharu tersebut pada tahun 2015.

Bagi memantapkan aspek pengurusan perundangan pula agar selaras dengan Mahkamah Sivil, JKSM telah melaksanakan pelbagai alternatif bagi mencapai hasrat tersebut. Diantaranya bermula tahun 2005, JKSM telah membangunkan Sistem Elektronik Mahkamah Syariah atau dikenali sebagai E-Syariah. Ianya telah dilancarkan pada 7 Februari 2003 oleh YAB Perdana Menteri ketika itu dengan kos RM 12.4 juta. Portal E-Syariah ini menyediakan kemudahan melalui internet untuk menyebarkan maklumat perkhidmatan, menyediakan maklumat secara online mengenai undang-undang,  menfailkan kes dan borang-borang disamping menghubungkan ke laman web mahkamah-mahkamah syariah dan agensi dalam dan luar negara. Kini seluruh Mahkamah Syariah di setiap negeri telah menggunapakai Sistem E-Syariah versi 2 yang mula dilaksanakan pada tahun 2011.  Kini, pengurusan kes seperti statistik, catatan perbicaraan hakim, pendaftaran kes, notis perbicaraan dan sebagainya adalah melalui sistem tersebut. Dengan adanya sistem ini, proses pengurusan di Mahkamah Syariah adalah lebih efektif dan membantu  menjimatkan masa serta kos pelbagai pihak.

Selain itu, JKSM sedang berusaha memartabatkan perundangan Islam dengan menaiktaraf dari tiga peringkat mahkamah kepada lima peringkat mahkamah sebagaimana yang diamalkan di Mahkamah Sivil. Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, Mahkamah Sivil mengamalkan lima peringkat mahkamah bermula dari Mahkamah Majistret, Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Sedangkan Mahkamah Syariah kini hanya mempunyai tiga peringkat mahkamah sahaja iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah. JKSM mempergiatkan usaha untuk mendapatkan persetujuan dari Ketua Agama setiap negeri bagi menambah peringkat mahkamah di Mahkamah Syariah iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah Tengah Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah dan Majlis  Rayuan Syariah. Satu sejarah penting bakal tercipta bagi Mahkamah Syariah di negara ini apabila kedudukannya akan berada sama taraf dengan Mahkamah Sivil dari segi perjawatan, emolument dan lain-lain yang berkaitan. Untuk mencapai tujuan di atas, 2 Akta di peringkat Persekutuan telah dicadangkan iaitu Akta Suruhanjaya Perlantikan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan Syariah Negeri dan Majlis Rayuan Syariah dan Akta Saraan Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah dan Majlis Rayuan Syariah. Kedua-dua Akta yang akan dicadangkan ini memperuntukkan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan dan Penetapan Saraan (gaji, elaun, pencen dan faedah-faedah lain) Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Mahkamah Rayuan Syariah Negeri dan Majlis Rayuan Syariah. Kewujudan Suruhanjaya ini akan menjadikan taraf Hakim-Hakim di Mahkamah Syariah bermula Hakim Mahkamah Tinggi Syariah sehingga ke atas akan setaraf dengan Hakim-Hakim di Mahkamah Tinggi Sivil.

5.0       KESIMPULAN

Secara umumnya dapat disimpulkan bahawa perlaksanaan Hukum Syarak di negara ini mempunyai asas dan latar belakang yang kukuh dan telah dilaksanakan sejak penubuhan kerajaan Melayu Melaka dan berterusan sehingga ke zaman penjajah dengan penyempitan pelaksanaan Hukum Syarak. Penjajah British telah memberi bentuk baru dalam pentadbiran Hukum Syarak di negara ini iaitu dengan memperkenalkan dalam bentuk perundangan. Apabila negara mencapai kemerdekaan, Islam telah diberi kedudukan dalam Perlembagaan dan raja telah diberi status ketua agama. Perlembagaan juga telah memberi bidang kuasa kepada Badan Perundangan Negeri bagi membuat perundangan Islam di dalam batas-batas yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan dan tertakluk kepada Perundangan Persekutuan yang juga membatas pelaksanaan sepenuhnya Hukum Syarak. Kedudukan Mahkamah Syariah buat masa ini telah diberi kedudukan yang lebih baik berbanding di zaman penjajah. Bagaimanapun pembaikan, peningkatan dan pemantapan masih ada ruang. Justeru Mahkamah Syariah perlulah disusun semula dan diberi kuasa yang lebih besar dan menyeluruh. Begitu juga kakitangan mahkamah yang terlatih dan mencukupi. Cadangan untuk menambah dari tiga kepada lima peringkat Mahkamah Syariah perlu diimplementasi segera bagi mewujudkan ruang dan peluang untuk merayu bagi menjamin keadilan dan kesaksamaan dalam melaksanakan undang-undang Islam di negara ini.

RUJUKAN

Abdul Munir Yaacob, 2009, Perlaksanaan Perundangan Islam di Malaysia: Satu Penilaian, Jurnal Fiqh, No.6

Mahmud Saedon bin Awang Othman, 1402 H, Mahkamah Syariah/ Kadi di Malaysia : Taraf, Bidang Kuasa dan Masalah-masalah yang dihadapinya, Islamiyat

Mahmud Saedon bin Awanag Othman, 2003, Institusi Pentadbiran Undang-undang & Kehakiman Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka

Mohd Saleh Hj Ahmad, 1993, Terjemahan Buku Sistem Kehakiman Islam oleh Dr. Abdul Karim Zaidan, Pustaka Haji Abdul Majid

Musa Awang,  2015, Di manakah kita dalamPemantapan Pentadbiran Keadilan Jenayah Syariah?, Jurnal Undang-undang Malaysia, 27 Kanun (1)

Ramizah Wan Muhammad, 2009, Sejarah Pentadbiran Kehakiman Islam di Malaysia: Satu Sorotan,  Jurnal Undang-undang Malaysia, 21 Kanun (1)

Rusni Hassan, Mohammad Azam Hussain, Adnan Yusoff, Penubuhan dan Bidangkuasa Mahkamah Muamalat di Malaysia: Isu dan Cabaran, 2013, Jurnal Undang-undang Malaysia, 25 Kanun (1)

Sinar Harian, 15 November 2014, Kerajaan Usaha Naik Taraf Mahkamah Syariah, Kumpulan Media Karangkraf

Suhaizad bin Saifuddin, Pegawai Syariah JKSM ditempatkan sebagai Pegawai Sulh di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan, temuramah pada 1 Mac 2015

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s