MUT’AH : ‘SAGUHATI’ YANG WAJIB

Asssalammualaikum wbt,

Oleh: Suhaizad Saifuddin

SAGUHATI ATAU PEMBERIAN?

Semasa saya mengendalikan Majlis Sulh suatu ketika dahulu saya dapati terdapat segelintir bekas suami berpandangan “Kenapa perlu saya bayar mut’ah, bukankah ia hanya saguhati, jadi suka saya lah nak bayar atau tidak?”

Saya tercari-cari kenapa timbul persepsi sebegini? Adakah benar mut’ah merupakan saguhati yang terpulang kepada bekas suami untuk membayarnya atau tidak? Saya cuba meneka satu jawapan iaitu perkataan ‘saguhati’. Dalam pemikiran masyarakat kita saguhati ialah sesuatu yang tidak wajib seperti kita memberi saguhati atau hadiah kepada seseorang. Sekiranya merujuk kepada tafsiran di dalam beberapa enakmen Misalnya Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, seksyen 2 telah memberikan tafsiran mut’ah iaitu “mut’ah” ertinya bayaran sagu hati yang diberi dari segi Hukum Syarak kepada isteri yang diceraikan. Saya merujuk pula Kamus Dewan Edisi Keempat. “Saguhati” bermaksud a. Wang dan lain-lain yang diberikan sebagai ganti rugi b. ganjaran sebagai penghargaan. Tiada dijelaskan mengenai pemberian yang sunat atau wajib. Manakala “mutaah” pula ditakrifkan pemberian suami yang diwajibkan kepada isteri selepas diceraikan. Pengertian yang diberikan Kamus Dewan ini lebih mirip kepada pandangan Mazhab Syafie. Menurut pengertian Wahbah Zuhaili dalam kitabnya Fiqh Al Islami Wa Adillatuhu, mut’ah adalah suatu pemberian harta yang wajib keatas lelaki untuk membayar kepada isterinya yang diceraikan pada masa hidup, dengan talak, bergantung kepada beberapa syarat.

Kesimpulannya, tafsiran undang-undang telah menyumbang kepada persepsi dan tanggapan salah oleh segelintir bekas suami mengenai mut’ah. Dengan meminda tafsiran tersebut  iaitu, dengan menukar frasa “saguhati” kepada frasa “pemberian”, mungkin kefahaman masyarakat lebih jelas.

MUT’AH WAJIB ATAU TIDAK ?

Ianya wajib berdasarkan pendapat Imam Syafie . Di dalam Kitab I’anah at-Talibin, pada Juz 3, m/s 356 juga ada menyatakan bahawa ‘wajib ke atas suami membayar mut’ah kepada isteri yang sudah disentuh (dipersetubuhi) walaupun ianya (isteri itu) seorang hamba, dengan sebab berlakunya penceraian yang bukan kerana kematian salah seorang daripada kedua-dua mereka’. Maka jelaslah, seorang lelaki wajib melaksanakan bayaran kepada isteri yang diceraikan, bergantung kepada beberapa syarat. Dan ianya juga wajib berdasarkan kes yang diputuskan oleh mahkamah sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh hukum syarak.

SYARAT-SYARAT MENDAPATKAN MUT’AH

Di dalam kes Rooselawati binti Hussein lwn Syed Farouk Azlan bin Syed Abdul Aziz,(Jurnal Hukum, Jld. 36(1), 2013) hakim bicara telah memetik pendapat ulama’ mengenai kelayakan seseorang isteri yang diceraikan untuk mendapatan mutaah iaitu:

i. Berlaku percerian antara suami isteri

ii. Isteri yang diceraikan itu telah disetubuhi

iii. Perceraian tersebut bukan kerana aib pihak isteri

iv. Perceraian tersebut bukan kerana kematian suami atau isteri

APA MAKSUD “DICERAIKAN TANPA SEBAB YANG PATUT”?

Seksyen 56 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa:

Mut’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut

Sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau pemberian sagu hati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak.

Tafsiran frasa tanpa sebab yang patut telah diperincikan lagi dalam kes Sapiee bin Muda lwn Adnan Hawa bt Mohamad ( Jurnal Hukum , Jilid 40(1), 2015) di mana hakim bicara telah merujuk kepada Kitab Mughni Muhtaj yang telah menggariskan syarat kelayakan seorang isteri bagi menuntut mut’ah, antaranya ialah:

    • Penceraian dengan kematian suami / isteri – suami tidak diwajibkan untuk membayar mut’ah
    • Penceraian berpunca daripada suami yang mewajibkan seorang suami untuk membayar mut’ah.
    • Talaq
    • Li’an
    • Suami murtad
    • Fasakh nikah disebabkan aib suami sebelum akad nikah
    • Penceraian berpunca daripada isteri semata-mata – tidak diwajibkan ke atas suami untuk membayar mut’ah:
    • Isteri murtad
    • Isteri memeluk Islam
    • Fasakh nikah kerana aib isteri
    • Isteri memfasakhkan nikah kerana suami papa
  • Isteri memfasakhkan nikah kerana suami mati pucuk

MUT’AH PERLU  MELALUI MAJLIS SULH

Tuntutan mut’ah perlu melalui Majlis Sulh selepas didaftarkan. Pihak Plaintif atau bekas isteri akan duduk berbincang bersama Defendan atau bekas suami dihadapan Pegawai Sulh. Penyelesaian di dalam majlis sulh lebih menjimatkan masa pihak-pihak. Ambillah kesempatan dan peluang ini untuk menyelesaikan secara baik

CONTOH PERJANJIAN PENYELESAIAN MELALUI MAJLIS SULH:

    1. Defendan bersetuju untuk membayar tuntutan mut’ah Plaintif sebanyak RM 10,000 ( Ringgit Malaysia Sepuluh Ribu Sahaja)
    2. Bayaran dibuat secara tunai dengan memasukkan ke dalam akaun Bank XXX Plaintif, Nombor akaun : XXXXXXXX sebelum Disember 2018 ATAU
    3. Bayaran dibuat secara ansuran sebanyak RM 1,000 ( Ringgit Malaysia Satu Ribu Sahaja) setiap bulan bermula November 2018 sehingga selesai)

KADAR MUT’AH

Tiada kadar yang tetap yang diperuntukan di dalam undang-undang mahupun hukum syarak mengenai kadar mut’ah. Mungkin sebilangan masyarat akan merujuk kepada beberapa pandangan ulama dan hadis, namun pertimbangan mahkamah perlu melihat kepada realiti semasa. Dalam kes Tukimah Ahmad lwn Jamaluddin Ibrahim ( Jurnal Hukum, Jilid 22 (1), 2006 , mahkamah mempertimbangkan kadar mut’ah akan melihat kepada faktor-faktor seperti di bawah:-

    • Kemampuan suami
    • Tempoh perkahwinan
    • Taraf hidup pasangan semasa perkahwinan
    • Status pendidikan dan pekerjaan isteri
    • Isteri tidak pernah diisytiharkan nusyuz
    • Menjaga kebajikan rumahtangga dengan baik.
    • Usia pihak-pihak
  • Lain-lain bentuk pengorbanan

ANALISIS KES: Rooseliwati binti Hussein lwn Syed Farouk Azlan ( Jurnal Hukum, Jld. 36(1), 2013

Plaintif dan Defendan telah bernikah pada tahun 1990 dan bercerai pada tahun 2008. Mereka telah dikurniakan 3 orang anak. Plaintif telah membuat tuntutan mut’ah sebanyak RM 50,000.00 atas alasan tempoh perkahwinan mereka telah mencapai usia 18 tahun, Plaintif tidak pernah mengabaikan tanggungjawab seorang isteri dan beliau telaha berusha untuk menyempurnakan semua keperluan Defendan dan anak-anak.Manakala Defendan tidak bersetuju dengan jumlah tersebut kerana Defendan dikatakan sebagai seorang isteri yang tidak bertanggungjawab dan meminta perceraian. Mahkamah mendapati bahawa Plaintif memenuhi elemen-elemen bagi melayakkan mendapatkan mut’ah. Walaubagaimanapun, mahkamah meneilti fakta bahawa Defendan telah berusaha untuk memujuk Plaintif untuk memulihkan hubungan dan kualiti kekeluargaan.

ISU NUSYUZ

Defendan telah membangkitkan isu tersebut bagi menafikan hak-hak Plantif termasuk mut’ah. Namun perlu difahami bahawa bagi mensabitkan nusyuz ianya perlu kepada pengesahan daripada mahkamah. Di mana apabila isteri telah melakukan nusyuz, suami perlu menfailkan Tuntutan Isteri Kembali Taat di mahkamah. Selepas isteri gagal mematuhi perintah mahkamah supaya kembali taat, barulah suami boleh membuat permohonan nusyuz. Di dalam kes ini tidak ada sebarang pengisytiharan dibuat oleh mana-mana mahkamah syariah berkaitan isu tersebut.

FAKTOR PERTIMBANGAN MAHKAMAH

Didalam kes ini, hakim bicara mengambil kira faktor kemampuan suami, pengorbanan Plaintif yang telah melepaskan pekerjaan untuk menjadi suri rumah sepenuh masa, tempoh perkahwinan dan pengorbanan Plaintif melahirkan 4 orang anak. Kesabaran Plaintif untuk sentiasa menyokong Defendan sejak gaji Defendan kurang daripada RM 3,000 sehinggalah pendapatan semasa Defendan mencecah RM 20,000 sebulan.

KEPUTUSAN MAHKAMAH

Defendan diperintahkan untuk membayar mut’ah kepada Plaintif sebanyak RM 20,000.00. Bayaran tersebut dibuat secara ansuran selama 4 bulan bermula Mei 2011 sehingga selesai.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s